Corak perbelanjaan pengguna terus terjejas disebabkan oleh tekanan inflasi berlebihan, sementara itu para pengeluar pula terpaksa berdepan dengan cabaran getir permintaan rendah yang berterusan. Hal ini turut dikongsikan menerusi laporan terkini Canalys yang menunjukkan pasaran telefon pintar global menyusut sebanyak 12% pada Q1 2023.
Meskipun terdapat pelbagai promosi ditawarkan namun trend permintaan global kekal perlahan dan belum pulih terutamanya dalam segmen peranti rendah. Situasi ini memaksa pengeluar untuk mengurangkan stok atau bekalan sedia ada, selain mungkin menangguhkan sedikit pengeluaran model baharu.
Pun begitu di antara lima pengeluar dengan pegangan terbesar, Samsung masih kekal ditangga pertama dengan pegangan pasaran sebanyak 22% diikuti pula oleh Apple (21%) di tangga kedua yang didorong oleh permintaan yang kukuh untuk iPhone 14 Pro. Seterusnya Xiaomi pula berada di kedudukan ketiga dengan pegangan pasaran sebanyak 11%. Kemudian, Oppo dan Vivo turut mengukuhkan kedudukan dengan masing-masing menyumbang pegangan sebanyak 10% dan 8% di pasaran.
Canalys meramalkan bahawa industri telefon pintar akan mencapai tahap agak baik menjelang akhir suku kedua tahun ini. Begitu juga dengan jumlah jualan pasaran telefon global yang dijangka turut bertambah baik pada masa mendatang – termasuklah peranti 5G dan skrin boleh lipat yang kelak menjadi penggerak baharu dalam industri.