Cari @ Amanz

Set kepala reality terimbuh Apple Reality Pro dijangka akan diperlihatkan di acara WWDC pada bulan Jun ini. Banyak ura-ura sudah didengari seperti isu mengenai berat, ketahanan bateri dan sebilangan kakitangan yang mengatakan ia belum bersedia untuk dipasarkan walaupun tidak dipersetujui oleh Tim Cook. Dalam laporan bahar di Bloomberg, lebih banyak maklumat mengenai set kepala ini tertiris.

Antaranya ialah ia akan hadir dengan sokongan aplikasi utama Apple seperti Facetime, Fitness+, Apple Books dan Safari dengan antaramuka yang sedikit berbeza. Sebagai contoh dalam FaceTime avatar 3D akan menggantikan video wajah sebenar pemanggil. Kolaborasi secara atas talian juga boleh dilakukan menggunakan FreeForm versi maya.

Dengan ciri seperti ini, pengalaman berbeza daripada aplikasi iOS dan iPadOS boleh ditawarkan kepada pengguna sementara menanti sokongan aplikasi yang lebih meluas pasca penjualan kelak.

Setakat ini pelbagai set kepala VR dan AR di pasaran kurang mendapat pasaran. Microsoft misalnya mengecilkan pasukan yang menghasilkan HoloLens tanpa perancangan membangunkan model baharu. Meta sendiri mengurangkan tenaga kerja kerana Horizon Worlds belum mampu menarik minat jumlah pengguna yang banyak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd