Paparan OLED merupakan sebuah paparan organik yang boleh memperlihatkan julat warna yang sangat lebar sekali, dan sangat fleksibel digunakan dalam pelbagai jenis konfigurasi dan situasi.
Terkini, bahagian kejuruteraan molekul di University of Chicago telah membangunkan sebuah paparan OLED yang boleh diregang dan dilipat tanpa masalah. Malah, paparan ini dilihat boleh beroperasi dalam tekanan sewaktu diregang ataupun dilipat, dan tiada kecacatan diperlihatkan apabila ia diperlakukan begini.

Projek ini dikepalai oleh Sihong Wang, pembantu profesor di bahagian kejuruteraan molekul dan mengatakan bahawa paparan OLED baru ini dibangunkan menggunakan polimer boleh regang dan boleh dimanfaatkan dalam pelbagai jenis aplikasi termasuklah komputer boleh lipat, peranti-peranti boleh-hubung dan juga kelengkapan kesihatan.
Paparan OLED secara lazimnya menggunakan panel yang tegang dan kaku kerana molekul-molekul pendarfluor yang digunakan untuk mengaktifkan fungsi pencahayaan tidak begitu mudah untuk kekal aktif dalam ruang yang fleksibel. Sihong Wang berharap bahawa enggunaan polimer yang dibangunkan pasukannya akan berjaya dikomersilkan, dan memudahkan paparan OLED digunakan dalam lebih banyak aplikasi.

Ujian awal panel OLED ini memperlihatkannya masih lagi beroperasi dengan normal walaupun diregang dua kali saiz asalnya.
Sebelum ini Samsung telahpun memperlihatkan paparan OLED boleh regang mereka yang digunakan dalam beberapa aplikasi yang berbeza, tetapi ini juga merupakan kali pertama kita dapat lihat bahawa sebuah paparan oled boleh diregang sepanjang dua kali saiz asalnya.