Teknologi yang canggih kini membolehkan orang ramai melaksanakan pelbagai urusan pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Ini termasuklah menunaikan ibadah zakat yang kini pembayarannya turut boleh dilakukan sewaktu berada di udara.

Ikhlas Com Travel Sdn Bhd (IKHLAS) yang merupakan platform gaya hidup patuh syariah Capital A kini hadir dengan insiatif baharu dinamakan sebagai Zakat In The Sky. Ia mendapat kerjasama syarikat penerbangan AirAsia yang bertujuan memudahkan orang ramai membuat pembayaran zakat sewaktu di dalam penerbangan.
Melaluinya para penumpang AirAsia kini boleh membayar zakat fitrah secara tunai kepada kru kabin yang bertugas. Kemudiannya anda akan diminta mengisi borang yang akan diambil bersama-sama dengan nilai bayaran zakat sebelum tiba di destinasi atau kampung halaman masing-masing.
Antara organisasi pusat zakat yang disokong termasuklah Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman (LZNK), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Dengan kemudahan ini, orang ramai kini tidak perlu risau dan tidak ada alasan lagi untuk membayar zakat. Tambahan pula orang ramai turut boleh membayarnya secara NFC menerusi sistem Fasstap. Sebagai pilihan, kami juga pernah menerbitkan artikel mengenai platform pembayaran zakat secara atas talian untuk kemudahan semua.
- Sumber
- AirAsia