Carian
Xiaomi Memperkenalkan Televisyen 86-Inci Mini-LED Dengan Sokongan 4K 144Hz
April 19, 2023 Amy Maizuraa

Bercakap mengenai televisyen pintar, antara faktor yang menarik perhatian pembeli adalah kebolehan terbina yang disertakan misalnya seperti teknologi skrin. Terbaharu Xiaomi telah hadir dengan televisyen pintar 86-inci mini LED dengan resolusi 4K dan kadar segar semula 144Hz.

Ia merupakan penambahan baharu untuk siri televisyen Xiaomi Master yang menggunakan teknologi mini-LED. Ini dipadankan pula kemampuan memaparkan paparan sehingga 1.07 billion warna dan kecerahan puncak mencapai 2,000 nits. Paparan ini turut sama menyokong beberapa fungsi tambahan seperti Dolby Vision, IMAX yang dipertingkatkan dan sokongan AMD FreeSync Premium Pro.

Turut disertakan adalah teknologi Local Dimming yang dibangunkan oleh Xiaomi untuk kawalan kecerahan puncak dan lampu latar yang lebih baik. Seterusnya televiyen juga dilengkapi cip pemproses empat-teras MediaTek (cortex A73 CPU) dengan gabungan GPU Mali-G52 MC1, memori 4GB RAM dan 64GB storan secara terbina.

Ia juga menjalankan sistem operasi MIUI TV dan sokongan untuk pembantu maya menerusi Xiao AI. Lain-lain spesifikasi termasuklah sembilan unit pembesar suara dengan output 70W yang menyokong Dolby Atmos dan DTS-X. Di China, televisyen ini dijual pada harga CNY 14,999 (~RM9,641) untuk seunit.

Komen