Carian
Ciri Penjejakan Kitaran Haid Pada Samsung Galaxy Watch5 Dan Watch5 Pro Mula Diaktifkan
April 20, 2023 Effi Saharudin

Samsung Galaxy Watch5 dan Watch5 Pro mempunyai sensor suhu terbina yang kemudian digunakan untuk menjejak kitaran haid. Selepas hampir lapan bulan dipasarkan, ciri ini mula diaktifkan pada jam tangan pintar ini di pasaran tertentu.

Pemilik di Eropah, Amerika Syarikat dan Korea Selatan menerima kemas kini mengaktifkan sensor suhu semalam. Pengesahan daripada badan kesihatan CE di Europe, FDA di A.S dan MFDS di Korea Selatan membolehkan jam tangan ini berfungsi sebagai peranti perubatan. Selain menjejak kitaran haid, sensor juga boleh menjejak suhu badan untuk melihat sama ada diri pemakai demam ataupun tidak.

Di Malaysia kita masih menanti pengesahan daripada KKM sebelum ciri ini juga boleh diaktifkan. Samsung Malaysia belum mengesahkan bila ciri ini akan hadir ke pasaran tempatan. Sebelum ini ciri ECG dan tekanan darah diaktifkan di Malaysia pada siri Galaxy Watch selepas pengguna menunggu selama beberapa tahun.

Komen