Di acara Acer GPC yang baru sahaja berlangsung, Acer telah memperkenalkan sejumlah peranti komputer untuk tujuan produktiviti dan riadah, dan diantara daripadanya ialah komputer riba gaming paling berkuasa mereka setakat ini, iaitu Predator Triton 17X.

Komputer riba ini hadir dengan paparan skrin Mini LED bersaiz 17 inci dengan resolusi WQXGA (2560×1600) dengan nisbah paparan 16:10 dan juga kadar segar semula sepantas 250Hz. Bukan itu sahaja, ia juga hadir dengan nilai kecerahan 1000 nit dan menyokong teknologi DisplayHDR 1000 dan boleh memperlihatkan 100 peratus gamut warna DCI-P3.
Dari segi komponen dalaman, Predator Triton 17X ini dikuasakan oleh pilihan CPU sehingga Intel Core i9-13900HX, cip pemprosesan komputer riba paling berkuasa Intel setakat ini, dan digabungkan dengan memori DDR5 sehingga 64GB dan juga storan SSD PCIe 4.0 sebesar 4TB.

Untuk penawaran kad grafik pula, Predator Triton 17X dimuatkan dengan kad grafik komputer riba paling berkuasa setakat ini, iaitu NVIDIA GeForce RTX 4090 yang mampu menggerakkan mana-mana sahaja permainan komputer pada resolusi, tetapan dan kadar segar semula yang sangat tinggi.
Untuk menyejukkan komponen-komponen berkuasa ini, Acer memperkenalkan teknologi penyejukan Vortex Flow yang terdiri daripada tiga kipas penyejukan, dimana dua daripadanya ialah kipas Aeroblade 3D generasi ke-5 yang digabungkan dengan paip haba yang mengalirkan haba daripada komponen seperti CPU dan GPU.

Ciri-ciri tambahan pada komputer riba ini juga termasuklah penggunaan pencahayaan RGB untuk setiap kekunci, pengimbas cap jari, enam pembesar suara dengan sokongan DTS:X Ultra, sokongan untuk WiFi 6E, sokongan untuk palam Thunderbolt 4, dan juga pembaca kad SD yang boleh menyokong pembacaan data sepantas 985MB/s.
Komputer riba Predator Triton 17X ini akan tiba di pasaran-pasaran terpilih pada bulan Mei kelak pada tanda harga permulaan $3799. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bila ia akan tiba ke pasaran tempatan.