Cari @ Amanz

Kebelakangan ini, kita dapat memperlihatkan bahawa sejumlah jenama telah mula memperkenalkan komputer riba dengan spesifikasi premium yang hadir dengan tanda harga yang lebih mesra dompet.

Di acara Acer GPC yang baru berlangsung, Acer telah memperlihatkan komputer riba yang hadir dengan spesifikasi kelas berkuasa yang tampil dengan penawaran tanda harga yang tidak semahal komputer riba kelas premium, iaitu Predator Helios 16 Neo.

Komputer riba terbaru ini hadir dengan pilihan paparan skrin IPS 16 inci dengan resolusi WQXGA (2560×1600) dengan kadar segar semula 165Hz ataupun WUXGA (1920×1200) dengan kadar segar semula yang sama. Paparan ini juga hadir dengan sokongan untuk teknologi NVIDIA G-SYNC yang memastikan grafik yang dipaparkan tidak mengalami isu carikan grafik.

Dari segi CPU, Predator Helios 16 Neo ini hadir dengan pilihan CPU Intel Core HX generasi ke-13, jumlah memori DDR5 sehingga 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sehingga 2TB. Dari segi penawaran GPU pula, pengguna akan boleh memilih untuk mendapatkan model dengan pilihan kad grafik sehingga NVIDIA GeForce RTX 4070 yang cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan moden dengan paparan yang tersedia.

Predator Helios 16 Neo ini juga tampil dengan sistem penyejukan yang menggunakan kipas penyejukan Aeroblade 3D terbaru untuk mengalirkan haba daripada komponen-komponen didalam ke bahagian luar secara cekap.

Sama seperti komputer riba Predator Triton 17X, ia juga hadir dengan sokongan untuk teknologi seperti Thunderbolt 4 dan WiFi 6E.

Acer mengatakan bahawa Predator Helios 16 Neo ini akan tiba di pasaran antarabangsa, termasuklah Malaysia pada bulan Mei kelak. Buat masa ini, tanda harga permulaan komputer riba ini ditetapkan pada $1499 terlebih dahulu.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd