Cari @ Amanz

Komputer riba gaming bersaiz padat bukanlah sebuah konsep yang baru, tetapi tidak banyak jenama yang memperlihatkan rekaan sebegitu. Acer, melalui acara Acer GPC yang baru sahaja berlangsung telah memperlihatkan penawaran terbaru mereka dengan rekaan sebegini yang dinamakan Predator Triton 14.

Predator Triton 14 ini hadir dengan paparan skrin Mini LED bersaiz 14 inci dengan resolusi WQXGA (2560×1600) yang hadir dengan kadar segar semula pantas 250Hz dengan sokongan untuk teknologi paparan DisplayHDR 600 dan juga mampu mengolah 100 peratus daripada gamut warna DCI-P3.

Dari segi komponen yang ditawarkan, Predator Triton 14 ini hadir dengan CPU Intel Core i7-13700H dan pilihan memori DDR5 sehingga 32GB dan storan SSD PCIe 4.0. Ia juga hadir dengan sokongan untuk teknologi-teknologi seperti WiFi 6E, Thunderbolt 4, malah mempunyai sebuah slot untuk membaca kad MicroSD.

Predator Triton 14 ini juga hadir dengan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4050 ataupun NVIDIA GeForce RTX 4070 bergantung kepada keperluan pengguna. Untuk menyejukkan komponen-komponen didalam, komputer riba ini juga dimuatkan dengan sistem penyejukan Vortex Flow dengan kipas penyejuk Aeroblade 3D terbaru.

Pada ketebalan 19.9mm sahaja, Predator Triton 14 ini hadir dengan rekaan yang bukan sahaja padat tetapi juga nipis dan mudah untuk dibawa kemana-mana dan boleh digunakan pada bila-bila masa sahaja.

Predator Triton 14 ini juga akan tiba di pasaran-pasaran terpilih pada bulan Mei ini dengan harga bermula $1499.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd