Carian
Microsoft Sedang Membangunkan Surface Pro 11″ Dan Surface Go 4 Dengan Cip ARM
April 20, 2023 Fahim Zahar

Sejak Microsoft memperkenalkan Surface saya terus menjadi salah seorang peminat kepada produk ini kerana ia nampak cool. Tetapi tidak pernah dapat membeli peranti ini sendiri. Sebaliknya Surface pertama saya dapat gunakan adalah Surface RT yang dimiliki oleh ayah saya.

Hari ini Surface sudah ada banyak jenis sama ada laptop, telefon pintar dan juga tablet hibrid. Terbaru Windows Central melaporkan yang Microsoft sedang membangunkan Surface Pro yang lebih kecil iaitu dengan skrin bersaiz 11″ berbanding 13″ yang biasa digunakan.

Kod nama produk ini adalah Luxor dan ia akan mempunyai saiz seakan sebuah Surface Go tetapi jauh lebih berkuasa. Pada masa sama model 13″ turut akan kekal dijual cuma Microsoft ingin memberi pengguna pilihan seperti Apple dengan iPad Pro.

Pada masa sama Microsoft turut dikatakan sedang membangunkan Surface Go 4 yang dijana cip ARM iaitu Snapdragon 7c. Produk ini menggunakan kod nama Tanta dan dikatakan akan mempunyai prestasi serta pengalaman penggunaan seakan Surface Go sedia ada cuma kini lebih efisien dengan bateri yang tahan lebih lama. Rekaan dikatakan akan diperbaharui dan mungkin akan ada sokongan 5G.

Tidak lama lagi peminat Surface akan ditawarkan dengan lebih pelbagai pilihan. Adakah anda akan membelinya nanti jika berkemampuan?

Komen