Carian
Ulasan iQOO Z7X – Peranti Murah Yang Bermaruah
April 26, 2023 Effi Saharudin

Realitinya ialah peranti yang dijual pada harga yang murah akan mempunyai pelbagai isu yang tidak akan anda hadapi jika membeli peranti kelas pertengahan premium atau mercu. Antara isu yang biasa didengari ialah skrin tidak begitu terang, prestasi yang mengecewakan, perisian kurang lancar dan kemampuan kamera yang setaraf kentang.

Tahun ini kami sudah mengulas beberapa peranti bawah RM1000 seperti Redmi 12C dan Realme C55. Walaupun mampu milik sukar untuk disarankan kepada semua kecuali individu yang memang mencari peranti yang murah. Tetapi dengan iQOO Z7X, kami menemukan sebuah peranti bawah RM1000 yang murah tetapi bermaruah.

SPESIFIKASI

iQOO Z7
Skrin6.64″ IPS LCD,
1080 x 2388 , 120Hz, HDR10
PemprosesSnapdragon 695 (6nm)
Cip2 X 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6 X 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Cip GrafikAdreno 619
RAM8 GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128/256 GB UFS 2.2
Kamera Utama50MP, f/1.8 (Sudut Lebar)
2MP, f/2.4 (Kedalaman)
Kamera Swafoto8 MP f/2.0
Bateri6000 mAh
Pengecasan berwayar 80W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari sisi
Harga JualanRM 999 (8/128GB)
RM 1099 (8/256GB)

SKRIN

Skrin 6.64″ FHD+ ialah dari keluarga IPS LCD tetapi menyokong kadar segar semula 120Hz. Skrin boleh diubah ke tetapan dinamik, 60Hz, 90Hz atau 120Hz sepanjang masa jika perlu. Tatalan serta animasi pada skrin ini nampak lancar tanpa isu tersekat-sekar. Kandungan masih nampak tajam walaupun skrin adalah dari jenis IPS LCD. Cuma seperti biasa sudut pandangan skrin tidak begitu cemerlang di bawah cahaya matahari yang terik.

Bezel tidak mempunyai ketebalan yang sekata dengan ia paling tebal di bahagian dagu. Kurang simetri pada skrin tetapi untuk peranti pada tanda harga ini ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

PENGIMBAS CAP JARI

Pengimbas cap jari diletakkan pada sisi kanan terbina pada butang kuasa. Butang kuasa terkeluar dari tubuh tanpa alur untuk memudahkan pengimbas dikesan. Proses menyahkunci adalah pantas pada Z7X cuma kurang konsisten. Ini adalah pengalaman yang sama seperti pada iQOO Z7 yang kami ulas beberapa minggu lalu. Besar kemungkinan ini ialah sensor yang sama maka tidak mengejutkan prestasinya juga serupa.

REKAAN

Rekaan adalah amat mirip dengan Z7 cuma dengan beberapa perubahan kecil. Butang kuasa merangkap pengimbas cap jari dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Sementara itu di bawah diletakkan pula bicu audio 3.5m, kekisi speaker, dan port pengecasan USB-C. Talam SIM pula diletakkan di atas yang menyokong dwi-SIM bersaiz nano. Ini perubahan pertama antara kedua-dua model. Pada Z7 bicu audio di atas dan talam SIM pula di bawah.

Panel belakang diperbuat daripada bahan logam yang tidak berkilat. Kotoran tidak mudah melekat pada panel ini membolehkan ia digunakan tanpa kerangka jika itu yang dimahukan oleh pemilik. Peranti amat selesa di dalam tangan walaupun saiznya boleh dianggap besar. Kesemua butang fizikal boleh diakses dengan mudah dengan sebelah tangan sahaja. Ia juga tidak licin kerana tekstur panel belakang yang sedikit kasar.

Di bahagian belakang terdapat bonggol kamera yang sederhana besar. Ia besar tetapi tidak tinggi. Berita baik kerana ia membuatkan peranti masih senang diletakkan di atas meja. Kaca besar berbentuk empat segi mendominasi bonggol kamera ini. Sebuah lagi perbezaan dengan Z7 ialah tiada label OIS pada kamera yang terletak dalam bonggol.

Kekurangan ialah tiadanya sebarang piawaian kalis air. Ini mungkin dilakukan oleh iQOO untuk mengurangkan kos peranti. Akhir sekali speaker juga dari jenis mono maka tiada langsung sistem audio premium seperti Dolby Atmos disokong.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi Funtouch OS 13 digunakan dengan ia berasaskan Android 13. Dengan penggunaan sistem operasi terkini, banyak ciri terkini Android 13 boleh digunakan. Contohnya ialah seperti ciri tema peranti berubah mengikut latar belakang skrin yang digunakan. Sepanjang tempoh ulasan sekitar seminggu, kami tidak mempunyai sebarang isu yang serius dengan penggunaan peranti. Cip Snapdragon 695 masih berkuasa pada tahun 2023 walaupun dilancarkan pada penghujung 2021. Ini ialah cip dengan lapan teras CPU menggunakan konfigurasi 2+6. Ia juga menyokong rangkaian 5G yang kini sudah menjadi keperluan di Malaysia.

Kesemua model hadir dengan 8GB RAM yang sekali memadai untuk peranti dalam kelas ini. Jika memori ini masih dirasakan tidak mencukupi, ciri Extended RAM menambah sehingga 8GB lagi RAM. Anda boleh mematikan ciri ini jika tidak diperlukan. Tidak seperti pada peranti Xiaomi dan Samung, Extended RAM hanya boleh diaktifkan dengan 8GB RAM tanpa sebarang kemampuan untuk mengubah saiznya secara manual oleh pemilik.

Tiada isu untuk memasang majoriti aplikasi seperti Netflix, YouTube, Facebook, Instagram, Prime Video dan TikTok. Pelancaran aplikasi pula pantas kerana dari jenis UFS. Pengalaman penggunaan Funtouch OS amat mirip Android asli maka tidak ada begitu banyak ciri tambahan disertakan. Sedikit asas dari segi rekaan tetapi pelancar ini tidak terasa berat untuk digunakan. Kami percaya bagi kebanyakan pengguna nampak asas tapi lancar adalah lebih penting berbanding nampak cantik tetapi tersengguk-sengguk seperti orang baru belajar memandu kereta manual.

Berikut adalah beberapa ciri menarik yang disertakan oleh iQOO Z7.

  1. Kadar segar semula skrin boleh ubah – Mengubah kadar segar semula skrin ke 60Hz, 90Hz, 120Hz atau dinamik mengikut keperluan aplikasi.
  2. Mini Screen Mode – Skrin dikecilkan untuk memudahkan penggunaan sebelah tangan.
  3. Extended RAM – Memori maya sebesar 8GB boleh ditambah dengan mengambil ruang storan.
  4. App hiding – Menyorokkan aplikasi daripada dipaparkan dalam peranti.
  5. Ultra Game Mode – Mod khas untuk gaming dengan pelbagai ciri mengurangkan gangguan ketika sesi permua.
  6. Simple Mode – Antaramuka lebih mudah untuk kegunaan kanak-kanak dan warga emas.
  7. Monster Mode – Mod meningkatkan kuasa memproses.

PENANDA ARAS

Kemampuan Snapdragon 695 5G adalah sederhana sahaja tetapi adalah masih memadai untuk penggunaan harian. Walaupun sudah berusia hampir dua tahun dilancarkan pelbagai aplikasi utama dan permua masih boleh dilancarkan tanpa sebarang isu yang besar.

Dalam ujian penanda aras utama Antutu 3D, Geekbench 6 dan 3D Mark ia mencatatkan markah yang setanding dengan OnePlus Nord CE 3 Lite, dan Realme 10 Coca Cola yang dilengkapi cip yang sama. Kami juga menyertakan sekali markah untuk Samsung Galaxy A34 dengan Dimensity 1080 sebagai perbandingan bagi mereka yang mencari peranti yang sedikit lebih berkuasa.

Geekbench 6

  • iQOO Z7X – 899/2109
  • OnePlus Nord CE 3 Lite – 876/1972
  • Samsung Galaxy A34– 1032/2254
  • Realme 10 Pro Coca-Cola – 852/1907

AnTuTu 3D

  • iQOO Z7X – 410,677
  • OnePlus Nord CE 3 Lite – 400,999
  • Samsung Galaxy A34 – 474,409
  • Realme 10 Pro Coca-Cola – 406,243

3DMark

  • iQOO Z7X – 1196
  • OnePlus Nord CE 3 Lite – 1209
  • Samsung Galaxy A34 – 
  • Realme 10 Pro Coca-Cola – 1127

Permua popular seperti Free Fire, PUBG Mobile dan COD Mobile boleh dijalankan pada tetapan grafik sederhana sahaja kerana cip yang sudah agak berusia. Kami sarankan tiga aplikasi di atas dimainkan pada tetapan sederhana sahaja jika kadar bingkai tinggi adalah penting bagi pemilik peranti. Selepas beberapa sesi permua yang panjang, kami dapat rasakan Z7X menjadi sedikit panas. Pelbagai aplikasi popular dapat dilancarkan tanpa sebarang isu. Bagi sebuah peranti kelas pertengahan, iQOO Z7X mempunyai prestasi yang memuaskan.

TELEFONI Dan GPS

Rangkaian 5G boleh dinikmati pada iQOO Z7X. Panggilan telefon menerusi ciri VoLTE dan VoWiFi juga turut boleh dilakukan dan jika syarikat telekomunikasi anda menyokongnya. Panggilan suara yang terang juga boleh dilakukan tanpa isu kerap terputus-putus. Prestasi GPS juga adalah baik kerana lokasi dapat dijejak dalam aplikasi Waze dan Google Maps dilakukan dalam masa beberapa saat sahaja.

KAMERA

Sistem kamera Z7X adalah amat asas kerana hanya dilengkapi lensa sudut lebar 50MP dan sensor kedalaman 2MP. Kamera utama tidak mempunyai sistem OIS. Sementara itu di hadapan sensor 8MP digunakan untuk kamera swafoto. Aplikasi kamera mempunyai pelbagai ciri asas seperti panorama, potret dan mod malam.

Kemampuan fotografi Z7X adalah sekadar sederhana dengan imej yang terang dapat diambil jika terdapat cahaya yang mencukupi. Tetapi kami dapat melihat imej yang terhasil kurang tajam keran tiadanya sistem OIS. Akibatnya mod malam juga kurang baik kerana sedikit pergerakan akan mengakibatkan imej nampak semakin lembut. Gambar pada gambar kelihatan hidup tetapi lebih panas berbanding situasi sebenar.

BATERI

Hayat bateri adalah amat baik dengan SOT 9-10 jam boleh dicapai secara konsisten setiap hari. Pada penggunaan sederhana, masih terdapat sekitar 20-30% bateri di penghujung hari. Bateri 6000 mAh yang disertakan bertahan lama. Mengecasnya semula mengambil masa sekitar sejam menggunakan pengecas 80W yang disertakan. Adalah amat menakjubkan peranti yang dijual pada harga bawah RM1100 menyokong pengecasan sepantas ini.

AUDIO

Hanya speaker mono digunakan di bahagian bawah. Audio yang dilontar adalah tidak seimbang tetapi masih cukup lantang. Untuk menonton video menggunakan Z7X adalah kurang memuaskan kerana sistem audio fizikal yang kurang sempurna. Berita baik ialah terdapat bicu audio 3.5mm untuk mereka yang masih mempunyai aksesori audio berwayar. Secara keseluruhan prestasi audio Z7X adalah sederhana sahaja.


PESAING

iQOO Z7XOnePlus Nord CE 3 LiteRealme 10 Pro Coca-Cola Edition
6.64″ IPS LCD, 120Hz
FHD+
6.72″ IPS LCD, 90Hz
FHD+
6.72″ IPS LCD, 120Hz
FHD+
Snapdragon 695 5G (6nm)
2x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Snapdragon 695 5G (6nm)
2x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Snapdragon 695 5G (6nm)
2x 2.2 GHz Kryo 660 Gold
6x 1.7 GHz Kryo 660 Silver
Adreno 619Adreno 619Adreno 619
8GB LPDDR4X8GB LPDDR4X8GB LPDDR4X
128/256 GB UFS2.2
Mikro SD
256GB UFS2.2
Mikro SD
128GB UFS2.2
Mikro SD
Kamera Utama
50MP f/1.8, (Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Kedalaman)
Kamera Utama
64MP f/1.7, (Sudut Lebar)
2MP f/2.4, (Sensor Kedalaman)
2MP f/2.4, (Makro)
Kamera Utama
108MP f/1.75, (Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Potret)
Kamera Hadapan
8MP f/2.0
Kamera Hadapan
16MP f/2.4
Kamera Hadapan
16MP f/2.45
Tidak kalis airTidak kalis airTidak kalis air
Bicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mmBicu audio 3.5mm
Audio MonoAudio StereoAudio Stereo
6000 mAh (Berwayar 80W)5000 mAh (Berwayar 67W)5000 mAh (Berwayar 33W)
RM999 (8/128 GB)
RM1099 (8/256 GB)
RM 1099 (8/256 GB)RM1399 (8/256 GB)

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x iQOO Z7X
  • 1x Pengecas 80W
  • 1x Kerangka silikon.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Pada harga bermula RM999 sebuah, iQOO Z7X adalah peranti mampu milik yang bermaruah. Terdapat sokongan 5G, skrin pantas 120Hz, cip kelas pertengahan yang masih memberikan penggunaan yang lancar dan bateri berkapasiti besar yang cukup tahan lama. Terdapat juga pengecasan yang pantas ia amat selesa digunakan sebelah tangan.

Peranti pesaing terhampir dengannya ialah OnePlus Nord CE 3 Lite dan Realme 10 Pro. Ketiga-tiga peranti adalah yang terbaik setakat ini dalam kategori bawah RM1500. Model 8/128GB yang diulas hanya dijual pada harga RM999. Ini adalah sebab mengapa kami memberikannya status sebagai telefon bawah RM1000 terbaik di pasaran sekarang.

Masih terdapat beberapa kompromi seperti kamera dengan lensa asas, speaker mono dan skrin dengan bezel agak tebal. Tetapi pada harga yang ditawarkan, kami merasakan ia adalah peranti murah yang bermaruah.

Pro

  • Skrin 120Hz membuatkan penggunaan nampak lancar.
  • Prestasi pemproses yang memuaskan untuk majoriti aplikasi.
  • Bateri tahan lama dengan pengecasan 80W pantas.
  • Harga amat mampu milik untuk spesifikasi ditawarkan.

Kontra

  • Skrin sekadar LCD.
  • Speaker mono.
  • Bezel skrin tebal tidak simetri.
  • Tiada kamera sudut ultra lebar.

Komen