Siri komputer desktop gaming Predator Orion diperkenalkan beberapa tahun lalu oleh Acer untuk mereka yang mahukan sebuah komputer desktop gaming yang berkuasa. Sewaktu acara Acer GPC yang baru sahaja diadakan, Acer telah memperkenalkan sebuah model baru kepada siri tersebut yang dinamakan Predator Orion X.

Berbeza dengan komputer Predator Orion sebelum ini, Predator Orion X ini merupakan sebuah komputer bersaiz kecil yang hadir dengan komponen yang sangat berkuasa sekali. Ia tampil menggunakan cip pemprosesan Intel Core i9-13900KS yang boleh dilewahjam sehingga 6GHz dan mempunyai memori DDR5 32GB dan dua storan SSD PCIe 4.0 terbina yang boleh diubah dengan mudah.
Dari segi penawaran kad grafik pula, Predator Orion X ini merumahkan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090 dengan penyejuk yang dibina oleh Acer Predator sendiri. Kad grafik ini mampu menggerakkan apa-apa sahaja permainan pada resolusi 4K dan tetapan tinggi tanpa masalah, malah mampu menggerakkan permainan menggunakan fungsi Ray-Tracing pada kadar segar semula yang tinggi.

Keunikan desktop Predator Orion X ini, selain daripada saiznya yang padat ialah Acer telah menandakan tiga zon utama pada komputer ini untuk memudahkan akses kepada pelbagai komponen-komponen didalamnya.
Zon pertama merumahkan komponen CPU, memori dan storan dan memudahkan pengguna untuk mengaksesnya. Zon kedua pula memberi akses kepada bahagian kad grafik, manakala zon ketiga memberi akses mudah untuk membersihkan ruang pengudaraan komputer ini.

Walaupun ia mempunyai saiz yang kecil, Predator Orion X ini hadir dengan jumlah palam dan juga sokongan teknologi yang agak banyak. Palam Thunderbolt 4, USB 3.2 Type-C, USB 3.2 Type-A, USB 2.0 dan palam RJ-45 semuanya dirumahkan dibahagian belakang komputer ini, dan ia juga menyokong sambungan internet WiFi 6E yang memberi pengguna sambungan internet nirwayar yang pantas.
Acer mengatakan bahawa desktop gaming Predator Orion X ini akan tiba di pasaran-pasaran terpilih pada bulan September tahun ini pada harga permulaan $2999. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi jika produk ini akan ditawarkan di pasaran tempatan ataupun tidak.