Cari @ Amanz

Pada tahun lepas, Acer telah memperkenalkan siri komputer riba Acer Swift X yang memperlihatkan komputer siri nipis dan ringan tersebut hadir dengan gabungan CPU dan kad grafik yang secara lazimnya diperlihatkan didalam rekaan komputer riba yang lebih besar.

Terkini, syarikat tersebut telah memperlihatkan komputer riba Acer Swift X 16 pula, iaitu sebuah komputer riba kelas nipis dan ringan yang merumahkan gabungan CPU dan GPU AMD dan NVIDIA yang menjanjikan prestasi produktiviti dan riadah yang tiada tandingan dalam kelas ini.

Acer Swift X 16 hadir dengan paparan OLED bersaiz 16 inci dengan resolusi 3.2K ((3200 x 2000), kadar segar semula 120Hz dan juga nilai kecerahan 500 nit yang mana paparan ini juga menyokong DisplayHDR TrueBlack 500.

Dari segi komponen dalaman, Acer Swift X 16 ini dikuasakan oleh pilihan CPU sehingga AMD Ryzen 9 7940H dengan memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 2TB. Dari segi penawaran kad grafik pula komputer riba ini hadir dengan gabungan kad grafik AMD Radeon 780M dan juga NVIDIA GeForce RTX 4050 yang cukup berkuasa untuk menyunting video beresolusi tinggi ataupun menggerakkan permainan komputer pada resolusi Full HD dan tetapan pertengahan tanpa masalah.

Apa yang lebih menarik lagi ialah Acer Swift X 16 ini juga hadir dengan rekaan yang serba nipis dengan ketebalan maksima 17.9mm dengan berat 1.9kg sahaja, menjadikannya sebuah komputer riba yang bukan sahaja berkuasa, tetapi juga mudah untuk dibawa kemana-mana.

Komputer riba ini juga dimuatkan dengan sejumlah sokongan dari segi palam dengan dua buah palam USB Type-C, palam HDMI 2.1, sokongan WiFi 6E dan juga penggunaan sistem log masuk menggunakan Windows Hello melalui pengimbas cap jari dan juga imbasan wajah melalui kamera.

Acer juga mengatakan bahawa sistem penyejukan TwinAir Swift X 16 ini telah dikemaskini supaya ia boleh menyedut masuk 36 peratus lebih banyak udara untuk menyejukkan komponen-komponen yang berkuasa ini.

Acer mengatakan bahawa komputer riba Acer Swift X 16 ini akan mula dijual di beberapa pasaran terpilih sekitar bulan Julai ini pada harga permulaan $1299. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah ia akan tiba ke pasaran tempatan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd