Cari @ Amanz

Vivo X Flip telah dilancarkan secara rasminya di China pada hari ini. Ia merupakan kemunculan sulung telefon pintar dengan skrin boleh lipat jenis clamshell pertama daripada Vivo. Dari aspek rekaan, elemen yang digunakan lebih menyerupai sebuah Oppo Find N2 Flip. Ini dipadankan dengan skrin sekunder yang besar mencapai 3-inci tetapi ianya diletakkan secara mendatar dengan sisi yang melengkung.

Skrin sekunder yang besar ini boleh dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan. Misalnya seperti main balik muzik, NFC, membaca notifikasi atau dijadikan paparan untuk tangkapan swafoto menggunakan kamera utama. Ia bertambah baik apabila peranti turut menyokong pilihan seakan Flex Mode untuk kegunaan peranti tanpa sentuh.

Skrin utama pula sebesar 6.74-inci yang turut memuatkan lubang kecil di tengah untuk perletakan kamera swafoto 32MP. Kedua-dua skrin menggunakan panel AMOLED dengan kadar segar semula berbeza yang mencapai 120Hz untuk skrin utama. Sementara itu skrin sekunder pula terhada pada 60Hz.

Seterusnya cip Snapdragon 8+ Gen 1 digunakan dengan padanan memori 12GB RAM dan storan dalaman mencapai 512GB. Kamera utama 50MP dengan OIS bersama lensa ultra-lebar 12MP disertakan pada peranti. Kapasiti bateri pula sebesar 4400mAh dengans sistem pengecasan pantas 44W.

Lain-lain spesifikasi termasuklah menjalankan OriginOS13 berasaskan Android 13, pengimbas cap jari sisi, sambungan port USB-C dan rangkaian 5G terbina. Peranti ini dijual di China pada harga bermula RMB 5,999 (~RM3,869).

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd