Carian
Tujuh Startup Terpilih Sertai Program ScaleUp Malaysia Kumpulan Keempat Kini Diumumkan
April 22, 2023 Amy Maizuraa

Kini memasuki musim/kumpulan keempat, program ScaleUp Malaysia meneruskan komitmen dalam menyokong dan membantu ekosistem syarikat startup. Selain itu, ia juga mewujudkan peluang kepada para pengasas untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan menyediakan sumber pembiayaan yang sepatutnya. Dalam masa sama turut bantu mereka mengenali pelabur, ahli korporat dan rakan kongsi berkaitan.

Pada tahun ini sebanyak 200 permohonan daripada syarikat startup dari seluruh Asia yang melibatkan pelbagai industri teknologi telah diterima. Ini termasuklah sektor IOT, kesihatan, sukan, haiwan peliharaan, perlancongan, sumber manusia dan kewangan. Bagaimanapun hanya tujuh syarikat sahaja telah disenarai pendek dan dipilih bagi menjalani program pemecut yang berlangsung selama tiga bulan tersebut.

Senarai nama syarikat yang terpilih adalah BeeBag, Docspe, Huddle, Petotum, Stayhere dan Kabel yang mana masing-masing akan menerima pelaburan sebanyak AS$100,000 (RM443,700) bagi setiap syarikat. Sementara itu syarikat ketujuh iaitu Sonicboom pula masih belum didedahkan nilai pelaburan strategik buat masa ini.

Sepanjang program berlangsung, kesemua peserta terpilih akan didedahkan dengan pelbagai teori dan sesi saringan perolehan (pitching) tertutup bersama pelabur dan rakan kongsi berkaitan. Ia bertujuan untuk memperbaiki standard model perniagaan, di samping mendorong mereka untuk memacu potensi dalam diri.

Ini seterusnya dapat membantu masing-masing membentangkan hasil projek cukup mengangumkan di hapadan para juri yang terdiri dengan pelabur terkenal sewaktu di acara kemuncak Demo Day.

Sekalung tahniah diucapkan buat kesemua para peserta yang terpilih! Untuk makluman, permohonan baharu untuk program ScaleUp Malaysia kumpulan kelima juga telah dibuka sehingga penghujung tahun ini bagi sesiapa yang berminat.

Komen