Carian
Berapa “Berat Digital” Yang Berjaya Anda Kurangkan Ramadan Ini?
April 21, 2023 Effi Saharudin

Ramadan 1444 Hijrah akan melabuhkan tirai pada Maghrib ini di Asia Tenggara. Di awal Ramadan yang lalu, di Amanz kami melakukan aktiviti tahunan menimbang berat untuk melihat berapa kilogram lemak dapat dikurangkan kerana berpuasa. Setakat ini masih tiada yang gagal untuk mengurangkannya walaupun seberat biji sawi sekalipun. Sungguh jelas bahawa berpuasa memang mampu menjadikan tubuh lebih sihat selari dengan kajian sains yang telah kami laporkan tahun lalu.

Media Sosial

Topik mengenai “berapa kurang berat badan” adalah antara yang paling selamat untuk dijadikan pembuka dialog dengan saudara mara yang sudah lama tidak berjumpa atau insan rawak yang datang beraya di rumah pak andak sebelah mak punya adik dari kampung sebelah.Tetapi topik yang aku yakin tidak pernah dibualkan ialah berapa berat digital yang mampu dikurangkan?

Apa Itu Berat Digital?

Apakah berat digital? Kerana ini ialah konsep baharu yang baru sahaja aku fikirkan 30 minit tadi izinkan aku jelaskannya. Ia adalah jumlah data yang berjaya dikurangkan sepanjang Ramadan. Adakah anda berpuasa dalam bentuk fizikal sahaja atau seperti aku yang turut cuba untuk berpuasa digital.

Sepanjang Ramadan aku berjaya kurangkan penggunaan platform media-media sosial utama dan juga platform penstriman video. Sebabnya kerana aku merasakan di usia yang sudah mencecah 40 tahun, sangat rugi dibazirkan dengan aktiviti yang tidak berfaedah. Dah tua buatlah gaya sudah tua. Tugas mencari populariti atas talian ini adalah untuk anak-anak muda ataupun insan yang masih enggan menerima mereka semakin hampir memasuki liang lahad.

Data pada telefon dapat dikurangkan penggunaannya sehingga 20GB mengikut aplikasi syarikat telekomunikasi yang aku gunakan. Digital Wellbeing turut mengesahkan waktu penggunaan telefon sejak empat minggu lalu sudah berkurangan sekitar 20%. Diakui ini bukalah pengurangan yang besar tetapi aku rasakan selari dengan purata peratusan berat badan yang berjaya dihilangkan sepanjang Ramadan.

Aku gantikan masa di atas talian dengan aktiviti seperti mengajar anak kerja rumah, membaca buku dan membaca komik-komik yang sudah bertahun mengumpul debu di atas rak.

Terima Kasih Elon Musk

Proses mengurangkan berat digital bulan ini dipermudahkan oleh Twitter yang kini sudah menjadi platform sampah. Aku adalah insan yang layak dikategorikan sebagai “tahi Twitter” kerana 80% aktiviti atas talian harian aku dihabiskan di sini. Ia adalah platform terbaik untuk mencari bahan berita terkini yang kemudiannya ditulis di Amanz. Setakat ini tidak ada platform lain yang aku rasakan terbaik untuk mendapat maklumat terpantas. Bagi 10% masa dihabiskan di Reddit untuk membaca berita gusti dan 10% adalah membaca laman lain untuk mengorek topik sohor kini.

Elon Musk

Sejak diambil alih Elon Musk, Twitter menjadi semakin sampah. Algoritma memaparkan ciapan tidak bermanfaat kepada aku setiap hari. Iklan pula memenuhi susur masa sehingga menjadikan pengalaman penggunaan berserabut. Elon Musk secara peribadi membuatkan aku semakin hampir akan berhenti menggunakan Twitter seperti mana ketakutan kanser menyebabkan aku sudah dua tahun berhenti merokok.

Sejak berhenti merokok aku tidak lagi pening kepala dengan kerap dan kapasiti paru-paru semakin meningkat. Aku tak tahu lagi dengan pengurangan berat digital ini apa kesan positif jangka panjangnya. Yang aku sedari selepas tidak lagi rasa peduli perlu di atas talian sepanjang masa tidur lebih lena, kurang perasaan marah dan hippocampus tidak disumbat dengan pengetahuan yang tidak berguna.

Cubalah Sendiri

Sempena Hari Raya Aidilfitri esok aku ingin memohon maaf jika ada salah dan silap. Mohon kosong-kosong analog dan digital. Dihilangkan semua rasa tidak puas hati jika ada seperti sebuah SSD yang diformat dengan betul. Aku sarankan pembaca cuba untuk mengurangkan berat digital di Ramadan tahun 1445 hijrah. Kalau aku yang ada ketagihan internet ini boleh melakukannya, anda juga pasti boleh.

Komen