Cari @ Amanz

Sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 secara lazimnya hadir dengan jumlah memori GDDR6 sebanyak 8GB, yang cukup berkuasa untuk menggerakkan kebanyakan permainan pada resolusi 1440p dan kadar segar semula sekitar 80-90FPS bergantung kepada tetapan permainan tersebut.

Terkini, seorang individu, Paulo Gomes telah mengubahsuai sebuah kad grafik RTX 3070 ini untuk memuatkan 8GB lagi memori baru, dan secara ringkasnya, ini meningkatkan prestasi gaming dengan kadar yang agak mendadak, sebagai contoh, Resident Evil 4 Remake boleh dimainkan pada tetapan yang sangat tinggi, dengan jumlah FPS dari kurang daripada 60FPS pada kad grafik asal ke sekitar 80FPS dengan kad grafik RTX 3070 dengan 16GB memori GDDR6.

Proses untuk mengubahsuai kad grafik ini juga dilihat sebagai sesuatu yang rumit kerana menambahkan memori kepada sebuah kad grafik bukanlah semudah seperti memateri komponen tersebut kepada papan litar kad grafik tersebut. Memori tersebut harus dipateri pada satu papan litar baru, yang kemudiannya baru dipasang juga pada papan litar kad grafik.

NVIDIA sebelum ini pernah tampil dengan pelan untuk memperlihatkan kad grafik RTX 3070 dengan lebih banyak memori VRAM, tetapi ia tidak pernah melakukannya. Penambahan VRAM hanya diperlihatkan melalui kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4070 yang kini tampil dengan 12GB VRAM GDDR6X yang membolehkan kad grafik ini digerakkan pada kadar segar semula dan tetapan yang lebih tinggi dan berkuasa.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd