Rangkaian peranti boleh pakai Amazfit dikemaskini dengan variasi baharu menerusi GTR 4 Limited Edition. Seperti namanya, ia hadir dengan beberapa penambahbaikan lebih premium berbanding variasi GTR 4 sedia ada. Misalnya seperti sokongan pengecasan nirwayar terbina yang menjadikannya antara jam tangan Amazfit terawal dilengkapi ciri berkenaan.
Seterusnya ia juga mempunyai sensor tambahan suhu badan yang amat berguna memantau perubahan suhu badan dalam masa nyata. Perbezaan lain juga boleh dilihat menerusi pilihan yang tersedia kini terhad dalam satu warna iaitu Infinite Black yang menggabungkan kerangka perak bersama tali Fluoroelastomer yang berwarna hitam.
Lain-lain spesifikasi masih sama, di mana skrin AMOLED 1.43-inci dan sensor BioTracker 4.0 untuk pengesanan kesihatan digunakan. Ini termasuklah ciri penjejakan nadi, penjejakan pola tidur, oksigen dalam darah dan pelbagai lagi ciri standard untuk seutas jam tangan pintar moden.
Bateri diberikan pula boleh bertahan sehingga 50 hari dengan sekali caj dalam mod biasa dan 14 hari dalam mod pintar. Amazfit GTR 4 Limited Edition dijual dengan harga US$249.99 (RM1,110) seutas.