Elon Musk pernah berkata negara yang mempunyai kecerdasan terbaik (AI) akan menguasai dunia masa depan. Ramalan beliau nampaknya bakal menjadi kenyataan dengan negara besar utama dunia kini mula membangunkan kecerdasan buatan sendiri. Untuk tidak ketinggalan, United Kingdom mengumumkan dana £100 juta (~RM 554 juta) untuk menubuhkan Foundation Model Taskforce untuk membangunkan AI sendiri.
Menerusi Foundation Model Taskforce, AI yang dibangunkan akan memberikan kelebihan kepada UK untuk terus kompetitif di peringkat global. Kerjasama dengan pemain industri akan memastikan ia selamat dan pada waktu yang sama lebih boleh diandalkan berbanding AI yang wujud pada waktu ini.

Dana ini adalah sebahagian daripada dana £900 juta yang diumumkan kerajaan UK dalam belanjawan terkini untuk membangunkan superkomputer skalaexa dan kajian lebih menyeluruh dalam bidang AI. Dengan AI yang dibangunkan secara kendiri, UK berharap ia akan menjadikan negara mereka kuasa besar teknologi dan sains menjelang 2030.
Antara sasaran penggunaan AI ini ialah meningkatkan ekonomi negara yang diramalkan boleh meningkat tiga kali ganda. Dalam bidang perubatan pula proses diagnosis, membangunkan ubat-ubatan dan pembangunan rawatan boleh dipercepatkan. Sementara dalam bidang pendidikan ia akan meringankan beban tugasan harian guru dengan tumpuan mereka akan dapat diberikan sepenuhnya kepada mengajar.
Dengan campur tangan kerajaan, isu mengenai moral, penggunaan data pengguna dan keselamatan AI yang dibangunkan juga diharap dapat diselesaikan. Google Deepmind ialah antara AI yang dibangunkan di UK. Kepakaran sudahpun wujud dan dengan dana ini UK nampaknya serius ingin menggunakan AI untuk mencerahkan masa depan negara.
- Sumber
- UK.GOV