Apple CarPlay adalah sistem inforia kenderaan Apple yang menarik untuk digunakan. Ia padat dengan ciri dan fungsi menarik kerana memberikan pengguna keselesaan menggunakannya dengan antaramuka mirip iOS.
Apple baru-baru ini mengemaskini laman web CarPlay mereka mendedahkan yang kini terdapat lebih 800 kenderaan menggunakan sistem inforia mereka. Majoriti yang disenaraikan adalah kenderaan yang dijual di Amerika Syarikat dan Perodua Alza AV 2022 yang menggunakan sistem ini tidak disenaraikan. Malah laman web Apple Malaysia meyenaraikan 600 kenderaan yang menyokong sistem ini walaupun majoriti yang tersenarai tidak dijual di sini.
Dalam senarai ini kenderaan tahun 2023 dan yang akan dilancarkan pada tahun 2024 turut disenaraikan. Apple turut pernah menyatakan yang 79% pengguna di Amerika inginkan sokongan CarPlay apabila membeli kereta kerana ia adalah satu ciri wajib-ada.
Akan datang Apple akan memperkenalkan CarPlay baharu yang menyokong multi-skrin, kawalan lebih menyeluruh termasuk mengawal penyaman udara, radio dan banyak lagi.
Di Malaysia jarang saya melihat pengguna yang menggunakan kereta yang ada CarPlay. Biasanya jika ada pun ia terus menyokong Android Auto. Adakah anda perlukan CarPlay atau terus menggunakan sistem inforia yang sedia terbina?