Opera merupakan nama yang tidak asing lagi dalam arena pelayar web. Mereka sedia memperkenalkan sejumlah pembaharuan dan inovasi dalam penawaran pelayar web – tidak kira pada desktop mahupun pada peranti mudah-alih.
Hari ini, Opera secara rasminya memperkenalkan Opera One, iaitu pelayar web generasi baharu yang direkabentuk semula, dan bakal menggantikan penawaran pelayar web desktop sedia ada.
Opera menyatakan ia memfokuskan kepada rekaan modular serta navigasi serta pengalaman yang lancar dan pantas ketika melayari web. Opera turut memfokuskan kepada pengurusan tab yang boleh dihimpunkan menjadi satu kumpulan serta diakses dengan mudah pada pelayar web berkenaan tanpa menjadikan pelayar web anda semak dengan bilangan tab yang banyak.

Opera menyatakan ciri ini sebagai Tab Island, dan ia boleh dihimpunkan secara automatik berdasarkan kepada konteks pelayaran. Selain itu, ciri Sidebar turut dikekalkan pada pelayar web ini untuk akses pantas kepada sejumlah ciri-ciri yang kerap digunakan tanpa perlu membuka tab khusus.
Bagi anda yang berminat, boleh mencuba versi pembangunan awal Opera One ini hari ini pada desktop anda.