Untuk beberapa tahun kebelakangan ini, isu serangan godaman yang meggunakan perisian hasad semakin meningkat. Kadang-kala serangan ini berlaku walaupun individu ataupun syarikat yang diserang telah melakukan apa yang mereka boleh untuk memastikan data syarikat mereka selamat.
Untuk membantu syarikat-syarikat memastikan data mereka lebih selamat, Cigent Technology telah memperkenalkan storan SSD terbaru mereka yang dinamakan Cigent Secure SSD+ yang hadir dengan cip kecerdasan buatan terbina secara terus didalam storan tersebut.
Cip kecerdasan buatan ini hadir dengan sistem pengesanan perisian hasad dan tebusan menggunakan pembelajaran mesin untuk memastikan data yang masuk dan keluar dari komputer adalah selamat dan tidak berlaku tanpa kebenaran pengguna.
Storan ini juga disekalikan bersama perisian Cigent Data Defense yang membolehkan syarikat untuk mengubahsuai tetapan sekuriti peranti-peranti komputer mereka, dengan pengenalan pengesahan multi-faktor untuk setiap kali perubahan dilakukan terhadap fail dalam komputer, mengunci fail-fail tertentu didalam komputer supaya ia tidak dikongsi ke peranti-peranti lain, ataupun membuatkan storan komputer sebagai read-only supaya tiada apa pun perubahan boleh dibuat pada komputer tersebut.
Ini juga memastikan bahawa sekiranya fail-fail perisian godaman berjaya dimuat-turun, fail tersebut tidak boleh diaktifkan secara jarak jauh, dan ia tidak boleh menjangkiti komputer dengan storan dan perisian ini, dan ia tidak boleh merebak ke peranti-peranti lain.
Buat masa ini, Cigent megatakan bahawa storan Cigent Secure SSD+ ini perlu dipasang sebagai storan utama alam komputer untuk mengaktifkan ciri keselamatan kecerdasan buatan terbina. Buat masa ini, storan ini juga hanya menyokong perisian sistem operasi Microsoft Windows, tetapi mengatakan sokongan untuk Linux akan tiba tidak lama lagi.
Storan ini akan tiba di pasaran-pasaran terpilih pada bulan Mei ini, tetapi konfigurasi storan dan juga prestasi storan SSD ini tidak diketahui lagi.