Cari @ Amanz

Taiwan Semiconductor Manufacturing Company atau lebih dikenali sebagai TSMC ialah syarikat pengeluar cip semikonduktor yang paling penting di dunia sekarang kerana kemampuan teknologinya untuk mengeluarkan cip semikonduktor dengan teknologi-teknologi yang terbaru.

Terkini, TSMC telah mula mengilangkan dua siri cip pemprosesan untuk Apple menggunakan proses 3nm terbaru mereka. Cip-cip ini adalah A17 Bionic untuk peranti iPhone 15 Pro dan Apple M3 untuk komputer riba Macbook yang akan diperkenalkan kelak.

CEO TSMC mengatakan bahawa peratusan cip pemprosesan yang boleh dihasilkan dan digunakan untuk menggunakan proses 3nm ini adalah pada tahap 55 peratus setakat ini. Pada tahap pembangunan proses pengilangan setakat ini, hasil 55 peratus sebenarnya adalah tahap yang cukup bagus sekali.

Ini adalah kerana TSMC akan meningkatkan tahap hasil tersebut sebanyak 5 peratus setiap suku, dan pada suku terakhir tahun ini, ia dijangka hasil pengeluaran cip menggunakan proses ini akan meningkat ke sekitar 65-70 peratus.

Akan tetapi ini masih lagi menjadi satu isu untuk TSMC kerana walaupun dengan hasil pengeluaran yang semakin meningkat, ia nampaknya masih tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan Apple yang nampaknya mahu memasarkan peranti-peranti iPhone dan MacBook terbaru mereka secepat dan dengan sebanyak yang mungkin.

Bukan itu sahaja, pada suku ketiga tahun ini, TSMC bukan sahaja akan meningkatkan pengeluaran cip A17 Bionic dan M3 untuk Apple, tetapi juga akan mula mengeluarkan cip untuk AMD, Intel dan NVIDIA. Walaupun Samsung juga dilihat mampu mengilang cip menggunakan proses 3nm, TSMC nampaknya masih pilihan pertama untuk syarikat-syarikat teknologi ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd