Cari @ Amanz

Penggunaan teknologi imbasan haba untuk melihat kata laluan yang dimasukkan sebelum ini boleh dikatakan dongeng Hollywood semata-mata. Kini, dengan pembangunan teknologi terbaru dan juga kecerdasan buatan, sekumpulan penyelidik di University of Glasgow telah membangunkan sebuah kamera imbasan haba yang dinamakan ThermoSecure.

Dengan imbasan permukaan ini, sistem kecerdasan yang terbina akan mengagak permukaan manakah yang disentuh terlebih dahulu, yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan seperti meneka apakah kata laluan yang dimasukkan untuk mengakses pelbagai jenis lokasi.

Kelebihan kamera ThermoSecure ini dapat dilihat dari segi kebolehannya untuk mengimbas imej thermal dari pelbagai jenis permukaan, termasuklah plastik, kaca dan sebagainya, dan kejituan penekaan kata laluan sistem kecerdasan buatannya adalah bergantung kepada panjang kata laluan yang digunakan, dan betapa cepat imbasan dilakukan oleh kamera ini selepas kata laluan tersebut dimasukkan.

Sistem ThermoSecure ini menggunakan gabungan kamera suhu yang boleh dibeli dari mana-mana sahaja pada harga yang murah, dan digabungkan bersama teknologi penjejakan objek Mask RCNN. Ia kemudiannya akan menggunakan pemetaan haba ini dan menguji sejumlah kata laluan berdasarkan suhu kekunci ataupun permukaan yang diambil.

Ketepatan tekaan ThermoSecure bergantung kepada beberapa aspek, termasuklah masa selepas kata laluan tersebut dimasukkan, permukaan yang digunakan untuk memasukkan kata laluan tersebut dan juga panjang kata laluan yang digunakan.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd