Cari @ Amanz

Bulan akan menjadi batu loncatan untuk manusia mengembara ke Marikh dan seterusnya dalam masa satu generasi sahaja lagi. Ini adalah sebab mengapa Misi Artemis adalah penting bagi Amerika Syarikat dengan Rusia serta China turut ingin menghantar manusia kembali ke permukaan bulan. Sebelum ini dilakukan, misi Hakuto-R Mission 1 ke bulan telah dilancarkan oleh ispace Inc sebuah syarikat swasta dari Jepun dengan ia ingin menjadi syarikat swasta pertama berjaya meletakkan sebuah kenderaan pendaratan (lander) ke permukaan bulan.

Namun begitu misi ini menemui kegagalan pagi tadi apabila kenderaan pendaratan bulan Hakuto-R hilang perhubungan dengan pusat kawalan semasa dalam proses pendaratan. Pendaratan di kawasan Mare Frigoris bulan terputus ketika ia berada sekitar 30 kaki sahaja lagi dari permukaan bulan.

Sebelum hubungan terputus, Hakuto R didapati bergerak semakin pantas dan bukannya semakin perlahan. Oleh itu jurutera ispace mencapai keputusan misi pendaratan mereka telah menemui kegagalan. Apakah yang terjadi kepada Hakuto R masih belum diketahui dengan data telemetri masih sedang dianalisa. Kegagalan Mission 1 ini akan digunakan untuk memastikan Mission 2 yang akan dilancarkan tahun 2024 dan Mission 3 pada tahun 2025 tidak akan menerima nasib yang sama.

Kegagalan pagi tadi menamatkan misi yang mengambil masa lebih empat bulan. Kenderaan pendaratan bulan Hakuto R dilancarkan pada 11 Disember tahun lalu menggunakan roket SpaceX Falcon 1.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd