Cari @ Amanz

Beberapa bulan yang lalu ciri menghasilkan gambar profil oleh kecerdasan buatan (AI) oleh Lensa tular di media sosial. Ribuan pengguna menghasilkan avatar yang kelihatan seperti lukisan digital yang canggih secara percuma. Kepopularan ciri Lensa ini sudah berkurangan sekarang tetapi kelak ia mungkin akan diberikan juga oleh TikTok.

Matt Navarra, yang merupakan penganalisa media sosial berkongsi video yang menunjukkan bagaimana ciri ini diintegrasikan oleh TikTok dalam aplikasi mereka. Seperti pada Lensa, pengguna perlu memuat naik 3-10 gambar wajah mereka terlebih dahulu sebagai asas untuk menghasilkan avatar. AI TikTok kemudian akan meminta pengguna memilih 2-5 gaya yang akan digunakan untuk avatar. Antara gaya yang diberikan ialah kelihatan seperti angkasawan, lukisan air dan catan abstrak.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik dan gaya yang dipilih, 30 gambar avatar baharu akan dijana oleh TikTok. Terdapat juga petunjuk TikTok akan melancarkan langganan Plus kepada pengguna. Dengan Snapchat+ dan Twitter Blue menunjukkan wujud permintaan untuk perkhidmatan media sosial berbayar, tidak mengejutkan jika TikTok juga tidak ingin ketinggalan. Masih belum diketahui bilakah ciri menghasilkan avatar ini akan dilancarkan oleh TikTok kepada semua.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd