Carian
Pelancaran Siri Realme 11 Dijadualkan Berlangsung Pada 10 Mei
April 27, 2023 Amy Maizuraa

Realme kini dalam persediaan hadir dengan barisan peranti pintar baharu pada 10 Mei akan datang. Melaluinya siri Realme 11 bakal diumumkan namun belum dapat dapat dipastikan bilangan sebenar peranti yang bakal disediakan pada tahun ini.

Mengikut jangkaan jenama ini dijangka hadir dengan beberapa variasi berbeza yang terdiri dengan Realme 11, Realme 11 Pro dan Realme 11 Pro+. Situasi yang sama juga dapat dilihat sejak pengenalan siri Realme 9 dan Realme 10 sebelum ini. Menjadi lebih menarik apabila video promosi pendek menunjukkan peranti seakan hadir dengan kemasan serba menarik yang berasaskan bahan seakan kulit.

Maklumat mengenai peranti juga agak terhad buat masa ini. Namun Realme 11 dipercayai telah melepasi laman pensijilan 3C di China dengan kod nama RMX3751. Ia menunjukkan peranti kelak menyokong sistem pengecasan 33W dan sambungan 5G terbina. Ini merupakan ciri yang turut boleh ditemui pada Realme 10 5G sebelum ini.

Pada masa sama, maklumat mengenai Realme 11 Pro dan 11 Pro+ dikatakan telah ditemui di laman TEENA dengan sejumlah spesifikasi. Ini termasuklah skrin AMOLED 120Hz, dijana cip Dimensity 1080, bateri 5,000mAh dan kamera 200MP. Ketahui lebih lanjut mengenai kejutan yang disediakan Realme ini sewaktu pelancaran rasmi akan datang.

Komen