Hari ini Jabra Malaysia telah melancarkan beberapa produk baharu untuk pengguna perusahaan yang memfokuskan kepada pekerjaan hibrid. Bermakna produk audio baharu mereka ini sesuai untuk digunakan sama ada di pejabat atau pun di rumah.
Produk ini adalah Jabra Evolve2 65 Flex, Evolve2 50 dan juga Evolve2 55. Ketiga-tiga produk ini adalah set fon kepala kelas pertengahan premium mereka.
Jabra Evolve2 65 Flex
Evolve2 65 Flex dilengkapi dengan pemacu audio 28mm dan menyertakan 6 mikrofon iaitu 2 jenis Analog MEMS dan 4 jenis Digital MEMS (Jabra ClearVoice). Untuk codec ia hanya menyokong SBC kerana fokus adalah untuk kerja. Untuk sambungan ia menyokong Bluetooth 5.2 dan turut boleh mempunyai tambatan pantas Google Fast Pair.
Set fon kepala ini turut diiktiraf untuk digunakan bersama dengan Zoom, Google Meet, Microsoft Teams (ada logo dan butang khas) dan banyak lagi perkhidmatan telesidang lain. Model ini turut direka agar boleh dilipat memberi fleksibiliti kepada pengguna untuk mudah disimpan atau di bawa ke mana sahaja seperti ke pejabat atau ke rumah. Set fon kepala ini turut menyokong pembatalan hingar aktif hibrid.
Evolve2 65 Flex turut hadir dengan teknologi Jabra Air Comfort untuk keselesaan pengguna yang menggunakan set fon kepala untuk bekerja sepanjang hari. Terdapat lampu merah BusyLight 360 darjah untuk memberitahu orang di sekeliling agar tidak diganggu.
Kaedah sambungan lain adalah melalui USB-A ke komputer atau juga USB-C. Ketahanan bateri adalah mencapai 32 jam dengan sokongan pengecasan nirwayar melalui dermaga khas yang kompak dan boleh ditambat terus ke dua peranti serentak. Harga jualan model ini adalah RM1880.
Jabra Evolve2 55
Ini adalah model kedua yang mempunyai spesifikasi lebih kurang sama kecuali konfigurasi mikrofon yang berlainan iaitu 2 Analog MEMS, 2 Digital MEMS (Stereo), 1 Analog MEMS, 2 Digital MEMS (Mono) dan sokongan pembatalan hingar aktif pula adalah jenis biasa dan bukannya hibrid.
Bateri pula hanya menyokong sehingga 18 jam, tetapi tambatan pantas seperti Google Fast Pair masih disokong dan kekal menggunakan Bluetooth 5.2. Evolve2 55 turut diiktiraf untuk digunakan bersama Google Meet, Zoom, Teams dan banyak lagi.
Perbezaan lain pada model ini berbanding dengan Evolve2 65 Flex adalah ia menyokong codec AAC dan tidak boleh dilipat dan pengecasan nirwayar yang digunakan adalah melalui dermaga khas yang bersaiz agak besar. Harga jualan set fon kepala ini pula adalah RM1580.
Jabra Evolve2 50
Set fon kepala ini adalah model yang paling mampu milik di antara semua yang dilancarkan dalam siri ini. Jabra masih ingin menawarkan pengalaman penggunaan yang premium kepada pengguna perusahaan mereka agar tidak ketinggalan dengan teknologi yang ditawarkan.
Ini bermakna sokongan keselesaan Jabra Air Comfort, algoritma mikrofon Jabra ClearVoice semuanya masih disokong. Ia juga tidak boleh dilipat. Perbezaan paling ketara adalah ia tiada sokongan pembatalan hingar aktif dan merupakan set fon kepala berwayar.
Harga jualan model ini adalah RM1180.
Jabra Evolve2 65 Flex dan Evolve2 55 kedua-duanya menyokong kawalan dengan aplikasi Jabra Sound+. Ini bermakna ciri seperti Jabra MySound dan kawalan butang semuanya boleh ditetapkan pada aplikasi ini.
Kesemua produk ini sudah pun dijual di Malaysia bermula bulan ini.