Cari @ Amanz

Konsol permainan Steam Deck secara lazimnya digunakan untuk menggerakkan permainan-permainan komputer kegemaran anda dari mana-mana sahaja tanpa perlu risau mengenai beg yang berat kerana perlu membawa komputer riba gaming bersama anda.

Di Ukraine, rakyat di negara tersebut nampaknya telah membeli konsol Steam Deck ini untuk tujuan yang sangat berbeza. Negara tersebut masih lagi sedang berperang menentang Russia, dan untuk memastikan angka korban tidak meningkat dengan begitu mendadak, mereka telah membangunkan sebuah sistem senapang yang dinamakan Sablya.

Senapang automatik ini boleh dikawal secara jarak jauh, sehingga 500 meter menggunakan konsol Steam Deck dengan sedikit perubahan dimana konsol tersebut dipasang sistem operasi baru, dan digunakan untuk bukan sahaja mengawal senapang automatik Sablya ini, tetapi juga untuk melihat sekeliling kawasan senapang tersebut untuk memastikan bahawa musuh tidak mara di kawasan mereka.

Penggunaan senapang Sablya ini sedikit sebanyak membantu dalam mengurangkan kematian dikalangan rakyat dan juga pejuang Ukraine, dan juga untuk menundukkan dron-dron yang digunakan oleh askar Rusia.

Lebih menarik lagi, Sablya juga boleh digunakan sebagai platform untuk pelbagai jenis senjata, dari senapang ke senjata anti-infantri ataupun anti kereta kebal.

Penggunaan Steam Deck untuk mengawal Sablya ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, khususnya apabila ia juga boleh dilihat sebagai sebuah komputer yang hadir dengan alat kawalan dan juga paparan skrin yang terbina dan boleh diubahsuai dengan mudah menggunakan sistem operasi seperti Linux.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd