Di acara GDC 2023, Pico yang mempamerkan rekaan konsep Pico 4 Pro turut mengadakan sesi bersama pembangun permainan mereka. Kami berkesempatan meluangkan masa bersama-sama dua pembangun popular pada platform Pico, iaitu Paul Brady dari Resolution Games dan juga John Coleman dari Vertigo Games.
Resolution Games adalah studio pembangun disebalik permainan Pico yang popular seperti Angry Birds – Isle of Pigs, Blaston, Acron, Demeo manakala Vertigo Games pula sangat terkenal dengan permainan mereka antaranya After The Fall, World of Diving, dan juga Arizona Sunshine.
Resolution: Passthrough’ Menerusi Pico Membolehkan Permainan Realiti Gabungan
Memulakan bicara, Paul Brady dari Resolution Games menyatakan salah satu fungsi pada Pico iaitu ‘Passthrough’ iaitu kebolehan untuk turut melihat persekitaran sewaktu menjalankan permainan, menjadikan pengalaman bermain secara Realiti Gabungan (Mixed Reality) satu hiburan yang memuaskan.
Dan dalam memanfaatkan fungsi ‘Passthrough’ ini, mereka sedang membangunkan permainan yang dikenali sebagai Spatial Ops. Ia merupakan permainan realiti gabungan yang menjadikan persekitaran anda sebagai objek dalam permainan. Untuk permainan Spatial Ops, sekiranya anda menjadikan ruang tamu anda sebagai ruang permainan, objek seperti sofa, meja akan digabungkan dalam permainan.
Dan gabungan ini tidak semata-mata sekadar objek biasa, kerana pemain dapat melakukan perkara didalam permainan dengannya. Seperti contoh meja yang boleh menjadi tempat letak senjata, atau sofa yang boleh digunakan sebagai tempat berlindung. Integrasi realiti gabungan ini semestinya menawarkan sesuatu yang baharu dalam pengalaman bermain.
Resolution: Crossplay – Masa Hadapan Permainan Antara Platform
Malah kemajuan teknologi juga memungkinkan pelbagai pemain menyertai sesi sesuatu permainan walaupun berlainan platform, lebih popular dipanggil ‘Crossplay’. Jika beberapa tahun lepas fungsi ‘Crossplay’ adalah terhad, kini pelbagai permainan hadir dengan kebolehan ‘Crossplay’ dan tidak terhad kepada satu platform semata-mata.
Fungsi ‘Crossplay’ yang sangat popular didalam permainan seperti Genshin Impact, Brawlhalla, Warframe kini juga turut wujud pada Pico, menerusi beberapa permainan yang dibangunkan Resolution Games seperti Acron dan juga Demeo.
Vertigo: Penjejakan Kaki/Pergerakan Dalam Dunia Realiti Maya Akan Memberikan Lebih Pengalaman Bermain
Bagi John Coleman dari Vertigo Games, mereka telah lama memulakan pembangunan permainan VR, dan lebih awal menggunakan Kit Pembangunan Oculus sebelum menggunakan Kit Pembangunan Pico. Memandangkan Pico wujud selepas Oculus, pembangunan permainan untuk platform Pico berjalan lancar tanpa cabaran yang menekan.
Malah bagi Vertigo Games yang sangat berpengalaman dalam membangunkan permainan VR, turut berhasrat dalam memperbanyak permainan yang akan menggunakan pergerakan kaki. Pergerakan kaki dalam dunia VR bukanlah satu perkara yang baharu, kerana Vertigo Games sendiri pernah membangunkan permainan pada HTC Vive yang memanfaatkan fungsi ini.
Buat masa ini, mereka tidak dapat berkongsi lebih lanjut kerana ia sedang melalui fasa kajian dan eksperimen, namun menjanjikan apabila permainan yang memanfaatkan penjejakan kaki diterbitkan, ia akan memberikan pengalaman permainan VR yang lebih menyeronokkan.
Kedua-dua panel ini bersetuju yang mana potensi VR adalah sangat tinggi dan mempunyai pelbagai ruang untuk diteroka. Malah ia jauh berbeza dengan sistem permainan lain (seperti permainan komputer mahupun konsol) dan dapat menawarkan pengalaman bermain yang lebih moden, lebih diperkaya, dan lebih interaktif.