Dyson, syarikat teknologi pengudaraan yang terkenal untuk kipas dan juga pembersih hampagas nirwayar mereka turut memperkenalkan sebuah produk yang cukup unik pada tahun lepas yang dinamakan Dyson Zone.

Dyson Zone menggabungkan rekaan fon kepala tradisional dan juga sebuah visor dan kedua-dua komponen ini bergabung untuk menyedut udara di kawasan fon kepala. Ia dilengkapi dua penuras, di mana pertama ialah penuras elektrostatik yang akan menangkap zarah bersaiz 0.1 micron seperti habuk, debunga dan sebagainya. Penuras kedua pula ialah penuras karbon memerangkap gas-gas seperti nitrogen dioksida, sulfur dioksida dan karbon monoksida yang sering di udara di kawasan-kawasan bandar.
Ia mempunyai kemampuan beroperasi sehingga 50 jam dalam mod fon kepala sahaja. Tetapi jika penuras udara dan fon kepala digunakan secara serentak hayat bateri akan menyusut ke di antara 90 minit hingga 6 jam bergantung kepada tahap kekuatan kipas penapis udara.

Dyson sepatutnya mula menjual fon kepala Dyson Zone ini pada awal tahun ini, tetapi mungkin kerana isu pengeluaran, ia hanya baru sahaja mula menjualnya di beberapa pasaran terpilih, termasuklah Amerika Syarikat.
Menurut Dyson, fon kepala ini hadir dalam pilihan warna satin silver dan ultra blue ataupun prussian blue dan ultra blue pada harga $999. Melihat dilaman web Dyson Malaysia, fon kepala tersebut ada ditunjukkan, tetapi belum memperlihatkan tanda harga lagi.