Sonos dikenali sebagai jenama produk audio premium. Mereka banyak memfokuskan kepada soundbar, sistem audio untuk teater rumah dan turut ada menawarkan speaker mudah alih. Terbaru di pasaran Malaysia adalah Sonos Era 100 dan Sonos Era 300 iaitu dua speaker premium “era” baharu mereka.

Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman menggunakan Era 100 selama beberapa minggu. Adakah speaker bernilai RM1599 ini berbaloi untuk dimiliki? Apakah keistimewaannya dan untuk siapakah speaker berbentuk silinder seperti ini?
SPESIFIKASI & REKAAN
Sonos Era 100 | |
---|---|
Jenis | Speaker Rumah |
Pemacu Audio | 3x amplifier digital kelas-D dengan penalaan jitu 2x tweeter yang diletak di posisi bersudut khas 1x mid-woofer Trueplay |
Mikrofon | Mikrofon jarak-jauh beamforming Pembatalan gema multi-saluran |
Cip | 4x A55 1.4GHz 1 GB SDRAM + 8 GB NV |
Sistem Operasi | – |
Tambatan | WiFi 6 Bluetooth 5.0 AirPlay 2 USB-C (penyesuai khas) |
Sokongan aplikasi | Android, iOS |
Kawalan | Panel sentuhan di atas |
Kemampuan kalis air | Tiada |
Harga Jualan | RM1599 |
Speaker Sonos tidak asing di makmal Amanz kerana kami sudah biasa menguji soundbar mereka. Tetapi untuk speaker baharu ini ia sesuatu yang berbeza. Era 100 boleh dikatakan adalah sebuah speaker pintar pelbagai fungsi. Pertama speaker ini menyokong sambungan secara Bluetooth. Selama ini Sonos banyak menggunakan sambungan WiFi sahaja.
Kemudian turut disediakan adalah port USB-C untuk sambungkan penyesuai bicu audio 3.5mm, mempunyai pembantu digital sendiri dengan suara oleh Giancarlo Esposito (Gus Fring dalam Breaking Bad dan Mod Gideon dalam The Mandalorian), kawalan sentuhan serta sambungan terus ke Apple Music.

Era 100 menggunakan rekaan berbentuk seakan silinder yang mana bukan satu rekaan unik atau baharu seperti Era 300. Tetapi Sonos mendakwa speaker saiz kecil ini memuatkan cip pemprosesan tersendiri yang 47% lebih pantas dan mid-woofer yang 25% lebih besar.
Di dalam speaker ini terdapat 3x amplifier digital kelas-D dengan penalaan jitu, 2x tweeter yang diletak di posisi bersudut khas untuk frekuensi tinggi yang tepat dan jelas. Kemudian 1x mid-woofer untuk main semula vokal mid-range, mikrofon jarak-jauh beamforming dengan sokongan pembatalan gema multi-saluran untuk sokongan Trueplay yang boleh melakukan penalaan secara automatik.

Speaker ini juga agak berat iaitu 2.02 kg jadi ia bukanlah untuk di bawah ke mana sahaja. Ia juga tidak mempunyai bateri dan perlu sentiasa bersambung pada sumber kuasa. Di belakang speaker ada port USB-C, suis mikrofon dan butang Bluetooth. Wayar pula jenis boleh cabut yang terletak di bawah.

Di atas terdapat panel kawalan sentuhan untuk main/jeda, langkau/kembali, tatal untuk laras suara dan untuk arahan suara Hey Sonos. Turut kelihatan adalah lampu LED untuk indikasi. Era 100 turut menyokong sambungan WiFi 6 yang mana kebanyakan speaker masih tersangkut dengan WiFi 2.4, Bluetooth adalah versi 5.0, port USB-C turut boleh disambungkan dengan penyesuai ethernet dan ia sedia menyokong sambungan Apple AirPlay 2.

Sonos tidak mendedahkan nama cip pemprosesan yang digunakan tetapi ia adalah jenis empat-teras 4x A55 1.4GHz yang dipadankan dengan memori 1 GB SDRAM dan storan 8 GB untuk kegunaan sistem. Speaker ini juga memerlukan sambungan Internet untuk pengalaman yang lebih baik. Jika tidak hanya dengan Bluetooth dan audio luar talian pada peranti pengguna sahaja.
Kualiti Audio
Dukacita dimaklumkan yang Sonos Ear 100 walaupun berharga RM1599 kualiti audionya adalah sederhana sahaja. Era 100 adalah sebuah speaker premium asa di era baharu di mana semuanya memerlukan ekosistem untuk melengkapkan pengalaman penggunaan. Untuk speaker ini jika anda ingin audio yang terbaik Era 100 harus dipadankan dengan satu lagi Era 100 di bilik bersaiz sederhana atau beli satu Era 300.
Bass/Lows
Era 100 memang sesuai untuk penggemar bass yang inginkan bunyi berdentum dan rancak. Cuma bass yang dikeluarkan tidak cukup enak kerana kehilangan butiran. Bass pada speaker ini turut memakan vokal menjadikan suara penyanyi tenggelam apabila mendengar muzik. Walaupun bass sudah dilaras pada aplikasi melalui tetapan EQ, profilnya sudah kekal sama menjadikan pengalaman pendengaran kurang memuaskan. Ini secara tidak langsung menjadikan speaker ini kurang enak dengan muzik akustik tetapi seronok dengan yang banyak instrumen.

Vokal/Mids
Vokal pada speaker ini memang baik sekali. Sonos telah meningkatkan vokal agar kedengaran dengan jelas tidak kira suara lelaki atau wanita dan tidak kira muzik atau podsiar. Ini adalah sesuatu yang baik jika mendengar muzik yang ringan dan santai seperti akustik. Tetapi jika konsert atau muzik daripada kumpulan ia akan tenggelam kerana bass tadi dan membuatkannya pendengaran sedikit lemas. Kemerduan suara penyanyi juga tidak dapat dinikmati dengan khusyuk kerana ia terlampau lembut untuk citarasa saya.
Nada Tinggi/Highs
Nada tinggi juga sebenarnya baik. Tetapi sayangnya ia tidak mencapai tahap nyaring yang enak. Sebaliknya ia turut tenggelam kerana bass yang acah kuat tetapi tidak seimbang. Kesan-kesan nada tinggi itu boleh didengari cuma ia seakan tidak sesuai untuk kebanyakan muzik. Muzik-muzik yang banyak menggunakan gitar atau bunyi yang nyaring akan menjadi “bersepah” kerana ia tidak kekal di satu tempat menjadikan kebanyakan muzik kedengaran tidak menentu.
Aplikasi Dan Kawalan
Walaupun Era 100 bukan speaker terbaik pernah saya uji saya masih menjadikan speaker ini sebagai peranti harian saya. Sonos masih baru berjinak lagi dalam menawarkan produk audio kelas pertengahan berbanding produk kebiasaan mereka yang berkali ganda harganya lebih mahal. Dengan aplikasi dan perisian yang baik pada Era 100 turut membuatkan saya tidak begitu kecewa dengan speaker ini.

Misalnya ini adalah speaker Sonos pertama dengan Apple Music terbina. Jadi tiada masalah untuk menstrim kandungan berkualiti. Paling menarik adalah ekosistem yang ditawarkan untuk memadankan speaker Sonos ini dengan model yang lain seperti Era 300 yang lebih mahal atau turut boleh disambungkan dengan Sonos Roam atau Move untuk menjadikannya sebagai speaker stereo yang adaptif mengikut situasi.

Sonos turut memberi kebebasan kepada pengguna untuk melaras kualiti audio melalui ciri EQ yang terbina. Tetapi ia terhad kepada bass, treble dan kekuatan sahaja. Ini bagus untuk mereka yang tidak mahu serabut kepala ubah itu dan ini tetapi mengecewakan untuk mereka yang benar-benar pentingkan kualiti audio. Bukan itu sahaja dalam peranti Android apabila menggunakan Spotify ada tetapan penyama tetapi tidak boleh digunakan bersama Era 100.

Perkara lain yang saya gemari dengan Sonos ini adalah ia agak pintar melakukan penentukuran sendiri melalui Trueplay. Ciri ini menggunakan mikrofon iPhone dan mengesan suasana persekitaran untuk audio Era 100 adaptif mengikut saiz bilik. Jika lebih kecil ia akan lebih terkawal dan seimbang sementara bilik besar seperti dalam pejabat ia mungkin akan lebih ke arah tenggelam.

Saya turut gemarkan ciri kawalan suara yang menggunakan suara pelakon kegemaran saya dalam siri Breaking Bad, Better Call Saul dan The Mandalorian iaitu Giancarlo Esposito. Tetapi Era 100 masih tidak cukup hebat menangkap suara saya dan memahami bahasa Inggeris Malaysia berbanding Google Nest Mini/Nest Hub.
Apa Dalam Kotak?
Berikut adalah apa yang anda akan dapat dalam setiap pembelian set asas Devialet Mania;
- 1x Sonos Era 100.
- 1x Kabel kuasa.
- 1x Buku panduan.
- 1x Fabrik pelindung.
Kesimpulan
Sonos Era 100 adalah speaker yang hampir pintar sepenuhnya tetapi tidak begitu cerdik. Misalnya ciri Trueplay yang saya sukakan sebenarnya penentukuran lebih pintar dan lebih kurang sama adalah lebih hebat pada Devialet Mania. Tetapi itu speaker berharga lebih RM4000 dan untuk Sonos yang berharga murah RM3000 sukar untuk saya mengadu.
Setakat mendengar muzik untuk menceriakan suasana dalam pejabat atau dalam bilik Era 300 cukup baik. Ia padat dengan ciri dan fungsi menarik dan memberi pengalaman penggunaan yang tidak memeningkan. Jadi mereka yang membelinya dengan boleh melalukan tetapan terus menggunakannya.

Jika diri saya yang pentingkan kualiti audio saya akan tidak begitu pandang kepada jenama. Pada saya mereka yang membeli Sonos ini pentingkan jenama dan tahap efisien dari segi penggunaan. Percayalah ada banyak lagi speaker silinder yang berkualiti pada harga lebih 50% lebih murah. Contihnya UE Megaboom 3 yang bawah RM1000, Sony SRS-XP500 yang harga RM100 lebih mahal tetapi lebih hebat atau beli sahaja set import Google Nest Hub beberapa unit.
Pro
- Menyokong Apple Music.
- Aplikasi kawalan mesra pengguna.
- Kawalan sesentuh yang mudah digunakan.
- Mempunyai ekosistem yang baik.
- Pelbagai kaedah sambungan.
Kontra
- Kualiti audio yang sederhana untuk harganya.
- Kawalan suara tidak cukup hebat.
- Harga jualan agak mahal untuk kategori speaker ini.
