ChatGPT adalah perkhidmatan perbualan kecerdasan buatan yang percuma untuk digunakan. Tetapi jika ingin dapatkan maklum balas yang lebih pantas, boleh digunakan ketika trafik sibuk serta akses kepada ciri dan fungsi baharu langganan sekitar RM89 sebulan diperlukan.
ChatGPT adalah teknologi OpenAI yang dijayakan dengan bantuan Microsoft. Disebabkan itu Microsoft boleh ada ciri seperti Bing yang lebih hebat kerana menggunakan teknologi GPT. Akan datang Microsoft ingin menawarkan perkhidmatan ChatGPT yang memfokuskan privasi di mana data yang disimpan tidak akan dikongsi dengan ChatGPT biasa.
Perkhidmatan ChatGPT ini dikatakan akan menggunakan teknologi awanan Microsoft Azure dan data yang terkumpul adalah tersendiri sahaja. Penawaran ini adalah untuk pengguna perusahaan seperti untuk mengintegrasikan teknologi ChatGPT pada bank, institusi kewangan dan sebagainya.
Harga ChatGPT memfokuskan privasi ini juga dikatakan mungkin mencapai lebih 10 kali ganda dari langganan 20$ sebulan (~RM89). Microsoft turut menyatakan ramai pelanggan perusahaan mereka yang sedia menggunakan Azure kelak boleh memanfaatkan perkhidmatan chatbot mereka ini.