BMW Group Malaysia hari ini mencuri perhatian pada acara Malaysia Autoshow 2023, dalam memperlihatkan sejumlah penawaran terbaru, termasuk salah satu yang mencuri perhatian adalah pengecas kereta elektrik bergerak pertama di Malaysia yang dibangunkan menggunakan bateri kereta elektrik terpakai yang digunakan semula.

Diletakkan dalam sebuah van, ia menggunakan bateri dari kereta elektrik BMW dan MINI yang dikitar semula. Prototaip ini menggunakan 16 unit modul bateri yang digunakan semula – dimana mempunyai kesihatan bateri sekitar 70%.
Sistem yang direka ini mempunyai kapasiti 20kWh, dan boleh menawarkan kuasa AC sehingga 30kVA tiga fasa. Ia menyertakan sebuah pengecas DC 30kW dibelakang van tersebut.

Dengan adanya pengecas bergerak atau powerbank sementara ini, ia boleh digunakan untuk membantu kereta elektrik yang tersadai tepi jalan. Kenderaan elektrik berkenaan boleh dicas sedikit, dan seterusnya ia boleh dipandu sehingga ke stesen pengecas terdekat.
Disamping untuk kereta, penawaran ini juga boleh digunakan untuk menguasakan sehingga lapan buah rumah dalam zon bencana.
BMW memperlihatkan penawaran mereka ini dibawah inisiatif memberikan bateri nyawa dan penggunaan kedua – selepas ia mencapai had untuk digunakan dalam kenderaan elektrik.