Kesatuan Penulis Amerika (WGA) mengumumkan mogok bermula Selasa lalu yang melibatkan lebih 12,000 ahlinya. Ia merupakan mogok terbesar dianjurkan WGA sejak 2008. Pelbagai isu seperti bayaran gaji, dan imbuhan pada kandungan yang kini distrim menjadi antara permintaan mereka untuk kembali pekerja. Tetapi yang paling menarik perhatian ialah isu penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri perfileman di Amerika Syarikat.
Antara permintaan yang gagal dipersetujui dalam perbincangan dengan Alliance of Motion Picture and Television Producers (AMPTP) – yang dianggotai Netflix, Amazon, Apple, Disney, Discovery-Warner, NBC Universal, Paramount and Sony – ialah penggunaan karya mereka bagi melatih AI. WGA meminta supaya sebarang kerja yang dihasilkan oleh ahli tidak boleh digunakan untuk melatih AI. Penggunaan karya untuk dijadikan sumber melatih AI, untuk menulis semula karya manusia dan deraf pertama turut dihalang.
Kerisauan di kalang penulis mengenai penggunaan AI bagi menggantikan tugas mereka bukanlah isu yang kecil. Sudah terdapat laporan penulis manusia kehilangan kerja dan digantikan oleh AI. Antara isu yang dibangkitkan ialah plagiarisme apabila karya manusia digunakan untuk melatih ChatGPT tanpa kebenaran dan bayaran.
Sejak mogok diumumkan, pelbagai produksi seperti rancangan lewat malam tidak lagi ke udara di Amerika Syarikat. Produksi siri TV dan filem juga terjejas kerana tidak boleh diteruskan tanpa penulis manusia.