Airbnb Rooms diumumkan hari ini dengan ia dihasilkan khusus untuk memudahkan pengguna menyewa bilik pada harga yang lebih mampu milik. Ia dilancarkan selepas mengumpul maklum balas daripada pengguna dan tuan rumah di Airbnb selama setahun.

Apabila pengguna menyewa menggunakan Rooms, maklumat lengkap mengenai penggunaan ruang tamu, dapur, bilik air dan banyak lagi akan dinyatakan secara lebih jelas. Antara isu yang diterima Airbnb ialah apabila bilik sahaja disewakan sebelum ini, ada pengguna yang merungut ruang lain tidak boleh digunakan kerana. Dengan adanya maklumat lebih terperinci, kekeliruan akan dapat dielakkan.

Selain Rooms, Airbnb mengemaskini aplikasi untuk untuk memberikan ketelusan pada harga sewaan rumah dan bilik. Caj tambahan yang digunakan untuk pembersihan misalnya boleh dimasukkan sekali ketika carian dilakukan. Arahan yang perlu dipatuhi pelanggan juga akan dipaparkan lebih jelas sebelum menyewa.
Terdapat lebih 50 penambahbaikan dilakukan oleh Airbnb bagi memudahkan bukan sahaja pelanggan tetapi tuan rumah. Proses memfailkan rungutan oleh kedua-dua pihak juga dipermudahkan. Kesemua ciri boleh diakses pengguna global bermula hari ini.