Carian
Disebalik GrabMaps yang dikuasakan AWS – Dari Pengguna S3 Kepada Penyedia API
May 4, 2023 Ikhwan Nazri

Mengambil pentas utama di acara AWS Summit ASEAN tahun ini adalah Grab yang turut berkongsi mengenai sistem pemetaan GrabMaps yang menggunakan AWS. Tahun lalu Grab telah menggunakan GrabMaps pada kebanyakan bandar yang menawarkan perkhidmatan mereka.

Sejak dari hari pertama Grab bermula, sewaktu ia masih dikenali sebagai MyTeksi pada tahun 2013, mereka telah menggunakan sistem S3 AWS dalam aplikasi mereka. S3 yang merupakan Simple Storage Solutions dari AWS merupakan sistem storan fail yang boleh ditingkatkan kapasitinya, bergantung kepada penggunaan aplikasi tersebut. 

Sehingga kini, Grab telah banyak menggunakan perkhidmatan AWS dalam tindanan teknologi (technology stack) mereka, dan pemetaan merupakan satu perkara yang sangat penting dalam keseluruhan penawaran aplikasi mereka. Namun begitu pemetaan yang ditawarkan tidak dapat memenuhi keperluan mereka, dan tidak terlalu tepat, menyebabkan mereka terpaksa membina sistem pemetaan sendiri yang dikuasakan AWS. 

Ketua Produk Grab Philipp Kandal menyatakan yang mana projek pemetaan ini bertujuan untuk memastikan setiap ceruk-ceruk yang tak dapat diakses oleh syarikat pemetaan lain, dapat dipetakan dengan lebih kerap. Malah untuk bandar-bandar yang padat, mereka turut memetakan jalan menggunakan kamera yang dipasang pada topi keledar penunggang motor Grab dan juga menggunakan sejumlah 5 juta pemandu dan penghantar berdaftar, serta maklumbalas dari komuniti. 

Dan hasil dari penggunaan GrabMaps ini terdapatnya kenaikan sebanyak 7% perjalanan yang boleh dilengkapkan setiap jam, dan mengurangkan masalah sesat dikalangan pemandu. Malah mereka juga turut mengalu-alukan pembangun dan pemilik lain untuk turut menggunakan GrabMaps API yang tersedia dalam bentuk Routing, Traffic, Search dan juga Map Tiles API. 

Dengan wujudnya GrabMaps ini ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos langganan perkhidmatan pemetaan, akan tetapi ia turut membawa satu perkhidmatan yang telah berevolusi selepas 10 tahun, dari startup yang bermula sebagai pengguna AWS kepada penyedia API (Application Programming Interface) untuk startup lain.

Komen