Sekitar tiga bulan lepas, Microsoft telah memperkenalkan Bing Chat, iaitu sokongan enjin carian yang dijana kecerdasan buatan dan menawarkan perkhidmatan dalam antaramuka berbentuk perbualan. Ketika pengenalan, Microsoft memperkenalkan ia secara terhad, dan memerlukan jemputan sebelum dapat menggunakannya.
Kini, selepas tiga bulan, Microsoft membuka akses kepada Bing Chat kepada semua pengguna. Namun, untuk mengaksesnya pengguna perlu menggunakan pelayar web Microsoft Edge, dan perlu mendaftar masuk ke akaun Microsoft, sebelum dapat menggunakan Bing Chat.
Bing sejak mengintegrasikan ciri Bing Chat, telah mula menarik lebih ramai pengguna, dan kini mempunyai sekitar 100 juta pengguna aktif harian.
Bersama-sama pengumuman ini juga, Microsoft mula mengintegrasikan beberapa ciri baharu pada Bing Chat, termasuk kebolehan mengeksport respon Bing Chat terus ke Microsoft Word, kebolehan untuk membuat carian berasaskan gambar, dan kebolehan membuka aplikasi atau web berkaitan dengan arahan melalui Bing Chat.
Dengan perkembangan pantas arena kecerdasan buatan, kita mungkin melihat lebih banyak ciri menarik Bing Chat dalam minggu-minggu akan datang.