Samsung mengumumkan pelancar One UI 5 Watch untuk jam tangan pintar mereka hari ini. Ia merupakan versi terkini dengan ia berasaskan Wear OS terkini yang akan dilancarkan pada separuh kedua 2023. One UI 5 Watch memberikan keutamaan kepada kesihatan, keselamatan dan penjejakan tidur yang lebih baik berbanding versi terdahulu.
Penjejakan kesihatan dipertingkatkan dengan ciri Heart Rate Zone yang memaparkan tahap jantung ketika aktiviti memanaskan badan, membakar lemak, kardio, latihan tubi dan maksimum. Ciri penjejakan aktiviti Route Workout turut dipertingkatkan lagi dengan sokongan fail GPX pada Watch 5 Pro.
Ciri penjejakan tidur pula hadir dengan tips untuk mendapatkan rehat yang lebih baik terus pada jam tangan dan bukannya pada aplikasi Samsung Health. Maklumat mengenai tidur setiap pengguna juga mempunyai data yang lebih terperinci seperti fasa tidur, berdengkur, oksigen darah dan banyak lagi. Menerusi integrasi SmartThings pula, peranti internet benda di rumah akan dikawal bagi memberikan waktu tidur yang optimum.
Akhir sekali untuk keselamatan pula ciri mengesan pengguna jatuh diaktifkan secara lalai untuk pengguna berusia 55 tahun ke atas. Maklumat lokasi yang dihantar juga lebih terperinci. Maklumat mengenai kesihatan juga boleh dipaparkan terus pada skrin jam.
One UI 5 Watch akan dilancarkan secara rasmi pada separuh tahun kedua 2023. Galaxy Watch6 pastinya akan menjadi jam tang pertama menggunakannya. Tetapi bermula esok ujian beta akan diberikan pada Galaxy Watch 4, Galaxy Watch 4 Classic, Galaxy Watch 5, dan Galaxy Watch 5 Pro