Cabaran tenaga pengajar hari ini ialah pelajar menggunakan ChatGPT untuk menulis kerja rumah yang sepatutnya dihasilkan oleh titik peluh sendiri. Pelbagai sistem dibangunkan untuk mengesan usaha untuk mengelat ini tetapi ia seperti usaha Sisyphus menolak batu ke atas bukit setiap hari. Khan Academy minggu ini mengumumkan chatbot Khanmigo yang menurut mereka menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengajar.

Khamigo yang berasaskan GPT-4 adalah AI yang menjadi tutor kepada pelajar. Apabila soalan ditanya ia sekadar membantu pelajar untuk mencari sendiri jawapan yang betul dan bukannya menyuap jawapan seperti chatbot lain. Dengan ini AI digunakan untuk memberikan pengalaman seakan setiap pelajar mempunyai tutor peribadi yang menggalakkan mereka belajar sendiri.
Kerana ia sebuah AI, Khanmigo boleh mengajar pelajar untuk menyelesaikan soalan matematik, menjadi rakan berdebat, dan membantu proses debug ketika menggunakan program pengaturcaraan.
Permohonan Khamigo kini dibuka dengan mereka yang berminat dimasukkan ke dalam senarai menanti. Mereka yang terpilih perlu membayar $20 sebulan sebagai derma kepada Khan Academy bagi menanggung kos operasi.