Rumah Putih hari ini mengumumkan pelan untuk menghasilkan garis panduan serta kajian ke atas kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan keselamatannya di masa hadapan. Walaupun kecerdasan buatan sedang hangat digunakan sekarang sudah timbul pelbagai isu mengenai privasi, penggunaan data, etika dan impak penggunaannya ke atas manusia dalam tempoh terdekat.

Pentadbiran Presiden Joe Biden turut mengumumkan dana $140 juta untuk tujuh institut kajian AI kebangsaan bagi memastikan pembangunan yang beretika, boleh dipercayai, bertanggungjawab dan memberikan kebaikan kepada orang ramai. Pengumuman dilakukan Rumah Putih sebelum pertemuan dengan CEO Alphabet, Anthropic, Microsoft, dan OpenAI yang akan dilakukan hari ini.
Garis panduan penggunaan AI untuk agensi kerajaan juga sedang dibentuk bagi memastikan jika digunakan ia perlu berteraskan keselamatan rakyat Amerika Syarikat. Ini bagi membolehkan negara mereka dijadikan negara contoh penggunaan AI yang bertanggungjawab.
Amerika Syarikat bukan negara pertama yang inginkan garis panduan wujud untuk pembangunan AI. Kesatuan Eropah (EU) dan CMA UK turut telah mengumumkan pelan mereka minggu ini. Di China kerajaan ekonomi kedua terbesar dunia telah meminta pendapat pemain industri mengenai penggunaan kecerdasan buatan dan algoritma pada bulan lalu dengan penilaian sekuriti wajib dilakukan sebelum boleh dilancarkan kepada umum.