OnePlus Nord 3 dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi. Peranti ini akan menjadi peranti kelas pertengahan premium OnePlus tahun ini menjadi pengganti kepada Nord 2T. Nord 3 dikatakan adalah peranti yang sama dengan OnePlus Ace 2V yang dilancarkan di China dua bulan lalu.
Terkini peniris terkenal Max Jambor mendedahkan yang OnePlus Nord 3 mungkin akan menyertakan sensor inframerah untuk menjadikan telefon sebagai alat kawalan jauh universal yang boleh mengawal kipas, penyaman udara, televisyen dan banyak lagi.
Ciri ini tidak asing pada peranti keluaran China seperti Honor, Poco, Xiaomi dan Huawei. Tetapi untuk OnePlus adalah jarang sekali dilakukan. Kali pertama adalah pada OnePlus 11R di India iaitu OnePlus Ace 2.
Di China OnePlus Ace 2V menggunakan skrin OLED rata 6.74-inci beresolusi 2772 x 1240 dan 120Hz. Cip pula adalah Dimensity 9000 yang dipadankan dengan memori mencapai 16GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman sehingga 512GB UFS 3.1. Bateri adalah 5000mAh dengan pengecasan pantas 80W SuperVOOC, kamera menggunakan gabungan sensor 64+8+2 Megapixel dengan kamera swafoto 16 Megapixel.