Berpangkalan di Belanda, Fairphone merupakan antara pengeluar peranti pintar mesra alam yang mempunyai keunikan tersendiri, misalnya seperti mudah dibaiki. Lebih menariknya lagi apabila peranti-peranti Fairphone ini turut menerima sokongan kemaskini untuk tempoh yang panjang mencapai tujuh tahun.


Terbaharu muncul beberapa imej yang menunjukkan fon kepala Fairphone Fairbuds XL yang dijangka tiba tidak lama lagi. Apa yang difahamkan ia boleh menjadi fon kepala dengan ANC terbina yang boleh dibaiki dengan mudah. Hal ini boleh dilihat dengan jelas menerusi penggunaan skrun yang mudah diakses bagi membolehkan komponen dalaman termasuklah bateri ditukar ganti sekiranya perlu.


Tiada maklumat lanjut mengenai kapasiti bateri namun ia dikatakan boleh dicas semua menerusi port USB-C yang disediakan pada bahagian kanan. Bukan itu sahaja, tubuh juga dipercayai hadir dengan bahan kitar semula yang sama digunakan pada panel belakang Fairphone 4 sebelum ini. Tiada tarikh pelancaran didedahkan namun ia boleh diadakan dalam masa terdekat ini.