Qualcomm pagi ini mengumumkan mereka akan mengambil alih firma Autotalks yang menghasilkan cip keselamatan untuk pelbagai jenis kenderaan. Sistem V2X yang dibangunkan Autotalks boleh mengesan bahaya dari titik buta pada kenderaan seperti basikal, motosikal dan kereta. Untuk mengambil alih firma dari Israel ini, Qualcomm dipercayai membayar antara $350-400 juta.

Teknologi cip dan sensor V2X akan diintegrasikan oleh Qualcomm ke dalam ekosistem Snapdragon Digital Chassis yang dipasarkan oleh mereka kepada beberapa pelanggan seperti Afeela yang merupakan perniagaan kenderaan elektrik Sony Honda Mobility. Selain mengesan kenderaan yang berada di titik buta, V2X juga boleh berhubung dengan kenderaan lain dengan sistem yang sama bagi mengelakkan kemalangan jalan raya daripada berlaku.
Dengan kereta elektrik semakin popular dan pelanggan inginkan kemampuan yang serupa dengan telefon pintar pada sistem info hibur kenderaan, Qualcomm Digital Chassis mempunyai kelebihan kerana pengalaman yang lama menawarkan cip untuk peranti pintar.