Cari @ Amanz

Siri komputer riba gaming ASUS ROG STRIX merupakan siri peranti gaming utama untuk ASUS, dan sering dikatakan diantara komputer riba gaming yang paling diingini oleh mereka yang berkecimpung dalam arena ini.

Terkini, ASUS Malaysia telah mengesahkan bahawa ASUS ROG STRIX G16 dan STRIX G18 yang dikemaskini dengan komponen-komponen terbaru oleh Intel telahpun memasuki pasaran Malaysia.

Kedua-dua komputer riba ini hadir dengan paparan skrin ROG Nebula Display bersaiz 16 dan 18 inci dengan resolusi QHD+ (2560×1600) dan kadar segar semula 240Hz. Ia juga tampil dengan kebolehan untuk mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3 untuk tontonan video dan juga pengalaman bermain permainan video yang lebih mendalam.

Dari segi komponen, kedua-dua komputer riba ini juga hadir dengan pilihan CPU Intel generasi ke-13 Raptor Lake sehingga Intel Core i9-13980HX, memori DDR5 sehingga 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.

Untuk bahagian grafik pula, ROG STRIX G16 dan G18 menawarkan pilihan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 ataupun NVIDIA GeForce RTX 4070 bergantung kepada keperluan pengguna.

Untuk menyejukkan komputer riba berkuasa ini, ASUS juga telah memperkenalkan sistem penyejukan tiga kipas yang akan membantu dalam menyejukkan bahagian komponen utama komputer riba ini. ASUS juga menggunakan cecair logam Thermal Grizzly Conductonaut untuk memastikan aliran haba yang lebih lancar daripada bahagian komponen ke bongkah penyejukan komputer riba ini.

ASUS ROG STRIX G16 dan G18 juga menawarkan sejumlah ciri-ciri I/O terbaru seperti Thunderbolt 4 dan juga WiFi 6E yang berguna untuk mereka yang memerlukan kemampuan menghantar dan menerima data pada kadar yang pantas dan juga sambungan internet yang pantas.

ASUS Malaysia mengesahkan bahawa ASUS ROG STRIX G16 dan STRIX G18 akan ditawarkan dalam warna Volt Green dan Eclipse Grey dan boleh dibeli pada harga bermula RM5,999.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd