Mobvoi adalah antara jenama yang mengeluarkan jam tangan pintar Wear OS yang cukup baik. Harga yang mampu milik, spesifikasi yang hebat dan menawarkan ciri serta fungsi menarik yang jarang ditawarkan oleh pesaing.
Tiga jam mereka yang dilancarkan sejak 2020 sehingga 2022 iaitu TicWatch Pro 3, TicWatch E3 dan TicWatch Pro 3 Ultra dijana dengan cip pemprosesan berkuasa Snapdragon Wear 4100. Ia cukup terkini dan disahkan menyokong kemaskini Wear OS 3 yang digunakan pada Galaxy Watch4/Watch5, jam-jam Fossil dan Pixel Watch.
Tetapi Wear OS 3 sudah dilancarkan sejak 2021 dengan janji kemaskini akan tiba pada pertengahan tahun 2022. Kini sudah hampir setahun langsung tiada kemaskini diedarkan kepada ketiga-tiga jam ini. Bukan setakat kemaskini Wear OS tidak diterima, kemaskini sekuriti juga tidak diedarkan.
Ciapan oleh @Mobvoi_Official pada 8 Mei 2023.
Mobvoi sekali lagi mengeluarkan kenyataan baru-baru ini melalui Twitter mereka. TicWatch Pro 3, TicWatch E3 dan TicWatch Pro 3 Ultra masih disahkan akan menerima kemaskini Wear OS 3. Cuma dengan gabungan Snapdragon Wear 4100 serta teknologi Mobvo tersendiri Wear OS 3 masih tidak sedia dijalankan. Usah risau kerana ia masih dalam pembangunan dan ujian beta akan boleh diuji nanti.