Bukan perkara asing untuk jam tangan pintar menggunakan cip generasi lama. Samsung melakukannya, Google dan Apple juga sama kerana cip Apple S6, S7 dan S8 pada Apple Watch Series 6 ke Series 8 mempunyai spesifikasi yang sama.
Tetapi untuk Apple Watch Series 9 tahun ini buat pertama kalinya ia mungkin akan menggunakan cip yang paling berkuasa setakat ini. Ini kerana cip jam ini dikatakan adalah berasaskan Apple A15 Bionic iaitu cip yang menjana iPhone 13 Mini, 13, 13 Pro dan 13 Pro Max.

Penggunaan cip baharu mencadangkan Apple Watch Series 9 nanti akan mempunyai prestasi yang berganda pantas, aplikasi akan memuat lebih laju serta perubahan drastik pada ketahanan bateri. Apple mungkin ingin menggunakan cip lebih berkuasa kerana dikhabarkan watchOS 10 akan melalui perubahan paling besar dalam sejarah Apple Watch.