Cari @ Amanz

Kewujudan pelbagai platform media sosial seperti Instagram misalnya menjadikan pengguna kini lebih kreatif menghasilkan video. Selain telefon pintar, dron juga boleh dijadikan salah satu peranti untuk tujuan berkenaan.

Bagi anda yang sedang mencari dron terkini untuk dibeli sekarang, DJI Mavic 3 Pro telah tersedia untuk dibeli di Malaysia. Harga jualan bermula RM9,799 untuk set DJI Mavic 3 Pro (DJI RC) yang merangkumi alat kawalan jauh, kipas ganti, pengecas dan kabel.

DJI Mavic 3 Pro
DJI Mavic 3 Pro Cine

Ia kemudiannya meningkat pada RM12,399 untuk pakej DJI Mavic 3 Pro Fly More Combo (DJI RC) dengan tambahan dua pek bateri, hab pengecasan, kabel dan beg. Kemudian DJI Mavic 3 Pro Fly More Combo (DJI RC Pro) pula berharga RM14,999 dan DJI Mavic 3 Pro Cine Premium Combo ditawarkan RM21,999.

DJI Mavic 3 Pro telah dinaik taraf daripada generasi sebelum ini, yang mana kini sokongan tiga kamera kini digunakan dan disambung pada sistem gimbal yang sama. Melaluinya ia menggabungkan kamera sudut lebar sensor 4/3 CMOS Hasselblad yang boleh mengambil gambar RAW 12-biyt berserta julat dinamik hingga 12.8 stops.

Kemampuan merakam video pula sehingga 5.1K 50P atau DCI 4K 120P. Di samping itu, terdapat juga rakaman menggunakan Apple ProRes 422 HQ, Apple ProRes 422 dan Apple ProRes 422 LT yang memberi kelebihan pada Mavic 3 Pro Cine sahaja.

Kamera kedua menyokong zum optikal sehingga 3X menerusi sensor 1/1.3″ CMOS yang juga boleh rakaman gambar sehingga 48MP dan video 4K/60P. Seterusnya kamera ketiga pula menyokong zum optikal sehingga 7X dan hibrid sehingga 28X, selain turut boleh merakam gambar pada tetapan 12MP dan video 4K/60P.

Melengkapi dron ini juga ialah sistem APAS 5.0 yang dibantu oleh 8 sensor terbina bertujuan memastikan dron boleh diterbangkan dengan selamat dari semua arah tanpa pelanggaran. Ia juga boleh terbang selama 43 minit dengan sekali pengecasan.

DJI Mavic 3 Pro, Mavic 3 Classic dan Mavic 3 juga kini menyokong DJI Goggles Integra terkini iaitu DJI Goggles 2 dan DJI RC Motion 2.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd