Sharp Aquos R8 dan Aquos R8 Pro telah dilancarkan secara rasmi. Ia menjadi kelas peranti kelas mercu baharu yang menggantikan Sharp Aquos R7 sebelum ini. Pada masa yang masa, pengenalan kali ini juga terdapat variasi Pro yang diumumkan bersama.

Bermula dengan Sharp Aquos R8 Pro, ia menggunakan skrin 6.6-inci WUXGA+ Pro IGZO OLED dengan kadar segar semula 240Hz adaptif dan menyokong kandungan Dolby Vision. Ini dipadankan pula dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 bersama gabungan memori 12GB RAM LPDDR5X dan storan dalaman 256GB UFS4.0. Seterusnya peranti juga menyokobg sistem operasi terkini Android 13 dengan kemaskini sehingga 3 tahun untuk sistem dan 5 tahun untuk sekuriti.

Kamera utama yang digunakan pula terdiri dengan sensor 1-inci 47.2MP Sony IMX989 sama seperti kanta Summicron yang dibangunkan bersama Leica. Ini digabungkan juga dengan sensor spektrum 14 CH. Prestasi kelajuan merakam gambar HDR juga dikatakan 40% lebih baik berbanding model sebelum ini. Kemudian terdapat juga mod khusus terbina seperti langit dan bunga api, di samping kamera swafoto sebesar 12.6MP.
Melengkapi peranti ini juga bateri 5,000mAh dengan sistem pengecasan pantas berwayar dan nirwayar yang tidak pula didedahkan kuasa outputnya. Sistem imbasan cap jari ultrasonik juga terbina pada skrin utama, di samping beberapa ciri lain seperti bicu audio 3.5, bluetooth 5.3, rangkaian 5G terbina dan pembesar suara stereo.

Selanjutnya Sharp Aquos R8 juga berkongsi sebahagian besar perkakasan dalaman yang sama dengan versi pro. Perbezaan ketara hanya terletak pada saiz skrin utama yang sebesar 6.6-inci dengan resolusi FHD+. Kemudian Aquos R8 juga mempunyai kamera utama 50.3MP 1/1.55 inci dengan lensa Hektor yang juga dihasilkan bersama Leica. Kamera utama ini turut menyokong kamera ultra lebar 13MP, di samping kamera swafoto 8MP dan bateri 4570mAh.
Tiada harga jualan untuk kedua-dua peranti yang didedahkan buat masa ini.