Salah menghantar mesej, maklumat ditaip tidak lengkap dan kesalahan ejaan (typo) yang boleh memberi masalah besar merupakan antara situasi yang tidak asing dalam pengguna aplikasi pemesejan seperti WhatsApp misalnya. Tambahan pula jika maklumat yang hendak disampaikan itu perlu dihantar serta-merta. Pasti lega rasanya jikalau dapat menyunting semula mesej yang dihantar tanpa perlu memadamnya bukan?
Ia kini boleh sahaja dilakukan apabila WhatsApp kini membenarkan penggunanya menyunting mesej yang telah dihantar. Ciri ini dinamakan sebagai Edit Message yang pada awalnya di peringkat pengujian namun kini mula ditawarkan secara terhad melalui versi web. Ia juga akan diperluaskan kepada lebih banyak pengguna dalam masa beberapa minggu yang mendatang.
Ciri ini boleh ditemui apabila pengguna membuka pilihan menu pada teks sembang yang dihantar. Ia boleh didapati menerusi ruangan sembang peribadi mahupun berkumpulan. Apabila ia dipilih, pengguna akan diberi masa 15 minit untuk melakukan suntingan pada teks yang sembang yang sama secara berbilang kali.
Pun begitu pengguna hanya dibenarkan membuat suntingan untuk sebilangan teks dan bukanlah sepenuhnya. Ia juga akan ditambahbaik dari masa ke semasa sebelum mula diedarkan secara rasminya kepada semua pengguna.